26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Tiada sampel kicap soya dikesan mengandungi sulfur dioksida

Sulfur dioksida tidak berbahaya kepada manusia apabila digunakan dalam kepekatan yang dibenarkan.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

TIADA sampel produk kicap soya termasuk jenama ABC dikesan mengandungi sulfur dioksida berdasarkan pemantauan dijalankan di semua pintu masuk negara dan pasaran tempatan dari Jun 2021 sehingga kini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia berikutan isu penarikan balik produk kicap soya manis dan sambal sos ayam goreng ABC dari pasaran oleh Pihak Berkuasa Makanan Singapura (SFA) kerana mengandungi bahan alergen iaitu sulfur dioksida yang tidak diisytiharkan atau dilabel pada pembungkusan.

Menurut beliau, melalui semakan Kementerian Kesihatan (KKM) ke atas data Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM) mengesahkan kedua-dua produk berkenaan turut diimport ke negara ini.

“Walaubagaimanapun, sejak Jun 2021 arahan Tahan Uji Lepas (TUL) telah dikenakan ke atas produk kicap soya manis berjenama ABC di semua pintu masuk negara.

“Arahan pelabelan semula atau arahan untuk dihantar semula ke negara asal turut dikeluarkan sekiranya tidak mematuhi keperluan pelabelan termasuk pelabelan sulfur dioksida,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, sulfur dioksida diklasifikasikan sebagai bahan pengawet yang dibenarkan dalam makanan tertentu dan pada paras tertentu di bawah Peraturan- Peraturan Makanan 1985.

Katanya lagi, sulfur dioksida tidak berbahaya kepada manusia apabila digunakan dalam kepekatan yang dibenarkan, tetapi ia boleh menyebabkan kesan alergik kepada sesetengah individu yang mengidap lelah atau asma apabila terhidu atau tertelan.

“Kandungan sulfur dioksida melebihi 10mg/kg hendaklah diisytiharkan atau dilabelkan,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau berkata, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Justeru katanya, sebarang maklumat atau kemusykilan berhubung isu ini dan isu-isu keselamatan makanan yang lain, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat, menyalurkan melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman rasmi facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.-Edisi 9

Terkini

GiatMARA Bagan Datuk dinaik taraf sebagai Institut Malaysia-China

PUSAT GiatMARA Bagan Datuk, Perak bakal dinaikkan taraf sebagai Institut Malaysia-China (MCI) yang akan memberi fokus dalam TVET bidang...

Lagi Artikel Berkaitan