ANAK perempuan Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa merayu kepada kerajaan dan Perdana Menteri agar membenarkan bapanya mendapat rawatan yang sewajarnya.
Rayuan itu disampaikan menerusi Instagram beliau hari ini.
Beliau mendakwa, masalah ulser kronik yang dihidapi bapanya kembali menyerang.
“Atas dasar kemanusiaan, saya merayu beberapa pihak termasuklah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, pengurusan Penjara Kajang dan juga HKL supaya memberi perhatian diberikan terhadap isu kesihatan Najib,” katanya.
Tambahnya, doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah mengesan beberapa ulser yang menyebabkan pendarahan ketika biopsi pada Sabtu lalu.
“Daddy meminta supaya dia di bawah pemerhatian perubatan tetapi ditolak HKL, doktor membenarkan dia keluar untuk kembali ke Penjara Kajang dan hari ini hadir ke mahkamah.
“Doktor juga telah menukar ubat-ubat daripada yang biasa diambilnya selama bertahun-tahun,” tulis Nooryana lagi.
Nooryana mengulas laporan media tentang penangguhan prosiding 1Malaysia Development memandangkan Najib mengalami alahan teruk selepas pengambilan ubat tekanan darah tinggi.
Hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram sendiri tampil mengesahkan keadaan Ahli Parlimen Pekan itu agak tenat dan memerlukan rawatan di Hospital Kajang hari ini juga.-Edisi 9