28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Semua banduan hanya dirawat di hospital kerajaan – Khairy

Bagi kes Najib, Ketua Pengarah Kesihatan memutuskan beliau dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin menafikan dakwaan yang Datuk Seri Najib Tun Razak akan dihantar ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi menerima rawatan.

Sebaliknya, menurut beliau, setiap banduan termasuk kalangan orang penting (VIP) perlu menjalani rawatan di hospital kerajaan sepertimana prosedur yang telah ditetapkan.

Beliau berkata, dalam kes bekas Perdana Menteri itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah membuat keputusan agar Najib dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Tuduhan mengatakan ubat tekanan darah untuk Najib ditukar adalah isu yang tidak menggambarkan perkara sebenar kerana ia adalah ubat jenis generik iaitu ubat yang sama cuma jenama yang berbeza.

“Sebelum ini, Najib mendapatkan ubat beliau dari hospital swasta tetapi apabila menjadi banduan, seseorang banduan akan dirujuk ke hospital kerajaan dan ubat yang diberi formula yang sama seperti panadol dan paracetamol,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penerimaan Anugerah Malaysia Book of Record dan Pelancaran Laporan Record Breaking Covid-19 Vaccination: Public-Private Partnership.

Khairy berkata, Najib dihantar semula ke Penjara Kajang Sabtu lalu, selepas semua pakar di HKL mendapati keadaan bekas Perdana Menteri itu dalam keadaan memuaskan.

“Hari ini, Najib dihantar semula ke HKL bagi menjalani pemeriksaan bagi melengkapkan laporan kesihatannya manakala Ketua Perkhidmatan Gastroenterology KKM, Dr Rosaida Md. Said adalah pakar yang merawat beliau.

Advertisements

“Saya juga sudah maklumkan kepada Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Asmayani Khalib supaya melakukan pemeriksaan ke atas Najib supaya tiada lagi pertikaian,” katanya.

Menurut Khairy, sebanyak dua kali pertemuan bersama keluarga Najib sudah dilakukan bagi menjelaskan perkara ini.

“Apabila isu ini timbul, saya sendiri menghubungi Pengarah HKL, Datin Paduka Dr. Rohana Johan dan beliau memaklumkan keadaan Najib stabil,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Ahli Parlimen Pekan itu berkemungkinan dirujuk ke IJN hari ini, kata peguam beliau, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Menurut Muhammad Shafee, tekanan darah bekas Perdana Menteri itu dilaporkan tidak menentu selain puncanya masih belum diketahui.

Najib yang kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang dimasukkan ke HKL sejak semalam.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan