24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

PRU-15: UMNO dalam proses muktamadkan senarai calon

Senarai calon ini sudah mula dikemukakan ke ibu pejabat oleh Badan Perhubungan UMNO negeri-negeri masing-masing

Mesti Baca

UMNO dalam proses memuktamadkan senarai calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU1-5) yang bakal diadakan pada bila-bila masa.

Menurut Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, senarai calon itu akan dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi UMNO selepas melalui proses tapisan di peringkat Badan Perhubungan UMNO negeri.

“Senarai calon ini sudah mula dikemukakan ke ibu pejabat oleh Badan Perhubungan UMNO negeri-negeri dan selepas itu senarai akhir adalah apabila Pengerusi Perhubungan UMNO atau Barisan Nasional (BN) akan duduk bersama dengan barisan kepimpinan di peringkat tertinggi untuk muktamadkan.

“Pengerusi BN Kedah misalnya dia bawa senarai dan kita akan berbincang dengan dia di peringkat tertinggi. Negeri Perak, Perlis negeri mana-mana saja kita bincang, muktamadnya di situlah,” kata beliau.

Mahdzir berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Gerakan Veteran UMNO ‘Keluargaku Pengundi BN’ di Kuala Nerang, Kedah hari ini.

Para veteran UMNO mengangkat pelakat Keluargaku Pengundi BN di Kuala Nerang, Kedah.

Mahdzir diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini bahawa pihaknya sudah menerima senarai calon daripada Badan Perhubungan UMNO negeri untuk PRU-15.

Ditanya mengenai jumlah senarai calon yang sudah dihantar atau diterima, beliau berkata, pihaknya tidak pasti mengenai jumlah sebenar.

Advertisements

Bagaimanapun katanya, ciri-ciri calon itu terdiri daripada individu yang berpengalaman dan daripada pelbagai latar belakang.

“Kategori calon-calon ini adalah hasil perbincangan antara Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri masing-masing bersama kepimpinan tertinggi parti dan gabungan.

“Di sana kita akan bincang dan akan tentukan sebab yang kemukakan itu daripada UMNO negeri, proses sedang berjalan, kita akan ambil yang berumur, berpengalaman, graduan semua itu berada dalam senarai dan ciri-ciri biasa pada pilihan raya umum ini,” jelas beliau.

Mengulas mengenai tarikh PRU-15, Mahdzir berkata, perkara itu akan ditentukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob setelah dibincangkan di peringkat pucuk pemimpin utama parti.

“Kita bincang tetapi prerogatif itu adalah daripada Perdana Menteri, dari segi tarikh apa semua itu, kita bincanglah, kita boleh tengoklah bila Perdana Menteri agak-agaklah bila dia nak buat kita akan bersidanglah,” katanya.

Mengenai pelancaran Gerakan Veteran UMNO ‘Keluargaku Pengundi BN’ peringkat negeri Kedah, Mahdzir berkata, veteran UMNO memiliki pengalaman luas dalam menyusun atur gerakan dalam menghadapi pilihan raya.

Justeru beliau menyeru agar veteran UMNO bersama-sama jentera parti untuk membantu memberi kemenangan kepada parti itu dalam PRU-15 kelak. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan