“BELIAU tidak kelihatan seperti biasa, tidak seceria seperti sebelum ini,” kata Peguam Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kepada pemberita selepas prosiding kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Muhammad Shafee juga memberitahu, setakat hari ini tiada sebarang petunjuk Najib akan dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN), lapor BH Online.
Bekas Perdana Menteri itu sebelum ini dilaporkan mengalami masalah tekanan darah, masih lagi menerima rawatan dan menjalani beberapa ujian kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Terdahulu, Muhammad Shafee, memberitahu Mahkamah Tinggi, tekanan darah Najib sudah turun tetapi belum berada pada tahap memuaskan, walaupun selepas diberikan ubat bagi penyakit darah tinggi yang asal.
Menurut beliau, Najib diberikan sijil cuti sakit selama dua hari sehingga esok.
Katanya, beliau dapat menemui anak guamnya hari ini yang ditempatkan di Wad 21 HKL dan mereka berbincang mengenai masalah kesihatan, perjalanan kes dan langkah seterusnya yang akan diambil.
Muhammad Shafee berkata demikian ketika memberikan status terkini Najib kepada Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang mendengar perbicaraan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad yang dihadapi anak guamnya.
Sehubungan itu, mahkamah menetapkan perbicaraan bersambung pada 26 September ini.