28.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Keberanian PM jadi kebanggaan negara Islam sedunia

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KELANTANGAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menggesa kuasa Veto dihapuskan adalah salah satu usul yang tepat dan wajar diambil kira oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, ucapan Perdana Menteri itu membawa suara keadilan buat dunia Islam dalam menangani isu-isu global yang kini menjadi sebutan oleh pemimpin-pemimpin negara Islam seluruh dunia.

“Kelantangan Perdana Menteri agar kuasa veto dihapuskan adalah demi menjamin sebuah demokrasi global.

“Ini bagi menangani agar krisis dan konflik dapat diselesaikan dengan segera serta meminta agar negara-negara besar dunia membantu dan memberi peruntukan segera kepada negara yang ditimpa bencana tanpa syarat.

“Sekiranya krisis yang berlaku berterusan tanpa ada penyelesaian, tanpa mereka sedari, konflik yang berlaku sebenarnya turut memberi impak bahaya kepada negara kuasa besar kerana ianya isu global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Dalam pada itu, tambah beliau, kesediaan Perdana Menteri menyampaikan ucapan dalam bahasa kebangsaan juga wajar mendapat pujian dan disanjung tinggi.
 
Ia juga katanya, menjadi satu sejarah buat Malaysia apabila bahasa Melayu dimartabatkan di pentas utama perhimpunan pemimpin-pemimpin dunia.
 
“Walaupun Malaysia sebuah negara kecil dunia, tapi suara dan keberanian Perdana Menteri kita menyampaikan pendirian terhadap isu-isu global wajar menjadi contoh yang mampu memberikan inspirasi buat negara kecil lainnya, “katanya.

Jumaat lalu, Perdana Menteri dengan lantang mendesak agar kuasa veto dalam Majlis Keselamatan PBB dihapuskan dan kembalikan organisasi dunia itu ke landasan penubuhannya.

Beliau yang mewakili Malaysia menyampaikan ucapan dalam bahasa Melayu di Persidangan Agung PBB (UNGA) di New York berkata, Majlis Keselamatan inilah yang menjadi masalah paling besar di PBB.

Menurut beliau, konflik dan krisis yang berlaku di dunia pada masa kini termasuk di Ukraine, Palestin dan Myanmar, tidak dapat diselesaikan akibat kepincangan sistem tadbir urus global dan PBB.

“Masalah yang paling besar di PBB adalah Majlis Keselamatan. Kuasa veto sering kali disalahgunakan untuk memihak kepada kuasa dunia yang memilikinya.

“Ia tidak demokratik dan melanggar prinsip hak asasi manusia. Ini menyebabkan konflik yang berlaku tidak dapat diselesaikan oleh mana-mana wakil tetap Majlis tersebut.

“Selaras dengan prinsip satu negara satu undi, sekarang adalah masanya kuasa veto dihapuskan. Sebagai organisasi yang membawa semangat dan lambang demokrasi kepada dunia, PBB perlu kembali kepada landasan penubuhannya,” kata beliau.

Ismail Sabri sekali lagi menyampaikan rasa kecewa Malaysia ekoran kegagalan PBB menyelesaikan isu Palestin dan Myanmar yang berlarutan begitu lama ketika beliau mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres. – Edisi 9

 

Terkini

Stoking kalimah Allah: KK Mart akan dipanggil bantu siasatan

POLIS akan memanggil pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan beberapa individu lain bagi membantu...

Lagi Artikel Berkaitan