Thursday, June 4, 2026

Malaysia alu-alukan resolusi PBB berhubung Palestin – Anwar

Mesti Baca

MALAYSIA mengalu-alukan Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa agar Majlis Keselamatan PBB menimbang semula permohonan Palestin untuk diterima sebagai Anggota Penuh pertubuhan itu, setelah permohonan tersebut digagalkan oleh satu undi veto pada bulan lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, resolusi yang telah diluluskan semasa Sesi Kecemasan Khas Ke-10 di Perhimpunan Agung PBB pada 10 Mei lalu itu telah disokong oleh 143 buah negara, sembilan menentang dan 25 berkecuali.

Beliau berkata, sokongan melebihi dua pertiga negara anggota untuk menyokong hak rakyat Palestin menentukan nasib mereka sendiri dan hak untuk negara Palestin yang berdaulat, menzahirkan komitmen masyarakat antarabangsa yang tidak berbelah bahagi untuk mencapai keamanan yang berkekalan di Asia Barat.

“Resolusi ini juga memberikan hak dan keistimewaan kepada Palestin untuk menyertai secara penuh sesi-sesi di PBB,” katanya menerusi kenyataan di Putrajaya hari ini.

Anwar berkata, Malaysia telah menyokong dan menaja bersama resolusi tersebut bersama-sama dengan 76 negara anggota PBB yang lain.

Katanya, Malaysia akan meneruskan usaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan bedaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya, serta kemasukan Palestin sebagai Anggota Penuh PBB. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan