KERAJAAN Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM2.734 juta bagi menjayakan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung pada 23 hingga 28 Mei ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini merupakan kali ketiga Pahang dipilih sebagai tuan rumah penganjuran majlis tersebut selepas kali pertama pada 2011 dan terakhir pada 2014.
“Bagi menyemarakkan lagi majlis ini saya telah umumkan bahawa Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menghulurkan tambahan wang tunai sebanyak RM1,000 kepada setiap peserta.
“Terima kasih juga kepada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) kerana berbesar hati menyumbang 5 gram kepingan emas kepada setiap pemenang,” katanya hari ini.
Sebelum itu Wan Rosdy bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Naim Mokhtar telah mengadakan pra-pelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1445 Hijrah di Kuantan.
Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan ini yang bertemakan ‘Al-Quran Dihayati, Negara Diberkati’ akan berlangsung di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dijangka merasmikan majlis tersebut pada 23 Mei manakala majlis penutup dan penyampaian hadiah pula akan disempurnakan oleh Sultan Pahang pada 28 Mei.
Seramai 110 peserta dari seuruh negeri akan mengambil bahagian iaitu masing-masing lapan peserta bagu setiap negeri dengan dua orang bagi mewakili kategori tilawah dan enam lagi untuk hafazan. – Edisi 9

