UMAT Islam di negara ini dinasihatkan agar berwaspada dengan tawaran pakej haji murah bagi tahun ini bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar turut mengingatkan bahawa mana-mana individu atay agensi pelancongan yang menawarkan pakej haji tanpa kelulusan bakal berdepan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).
Beliau berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) telah melantik 25 syarikat pelancongan tempatan untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi Musim Haji 1445H/2024M dan ini adalah antara langkah awal persediaan haji yang dilakukan TH saban tahun.
“Umat Islam adalah dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan syarikat-syarikat yang dilantik sebagai PJH oleh pihak TH sahaja,” katanya dalam kenyataab hari ini.
Beliau mengulas mengenai kejadian 300 bakal jemaah haji yang terkandas di Mekah ketika ini akibat terpedaya dengan pakej haji murah yang ditawarkan agensi pelancongan yang tidak bertanggungjawab.
Mohd Na’im berkata, pihaknya melalui TH sentiasa memberi peringatan saban tahun kepada umat Islam negara ini agar lebih berhati-hati dengan sebarang tawaran pakej murah yang ditawarkan segelintir agensi pelancongan yang tidak dilesenkan oleh TH.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersimpati atas nasib yang menimpa mangsa-mangsa tersebut dan telah mengarahkan pihak TH untuk meneliti perkara ini untuk siasatan lebih lanjut.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menasihatkan kepada semua mangsa yang terlibat di sana untuk menghubungi Kedutaan Malaysia di Arab Saudi bagi mendapatkan bantuan khidmat nasihat,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan kira-kira 300 bakal jemaah haji yang kini berada di Makkah bingung selepas terpedaya dengan sebuah agensi menawarkan pakej murah menggunakan visa pelancong.
Seorang jurucakap yang dikenali sebagai Zhyema Zhyedee berkata, beliau dihubungi seorang rakan dari di Tanah Suci bagi mendapatkan bantuan selepas sedar diperdaya pihak agensi.
Menurutnya, agensi terbabit yang pada awalnya menjanjikan untuk memberi gelang haji masih gagal berbuat demikian sehingga hari ini.
Katanya, pihak agensi juga turut mengarahkan bakal haji agar tidak keluar dari hotel dikhuatiri ditahan pihak berkuasa Arab Saudi. – Edisi 9

