30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Isytihar BN musuh utama serlah ketidaksepakatan PN?

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

RAMAI yang agak terkejut dengan tindakan Muhyiddin Yassin mengumumkan secara terbuka bahawa Barisan Nasional (BN) sebagai musuh utama Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Tindakan itu dilakukan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu ketika majlis sambutan Ulang Tahun Keenam parti itu yang diadakan di Putrajaya.

Walaupun kenyataan bekas Perdana Menteri itu mendapat tepukan padu daripada ahli-ahli dan pemimpin Bersatu, namun ramai yang melihat tindakan Muhyiddin itu boleh menjadi ‘boomerang’ kepada beliau dan Bersatu.

Masakan tidak, ketika Pas masih lagi mengharapkan hubungan mereka dengan UMNO dan BN kembali bertaut dan mengisytiharkan Pakatan Harapan (PH) sebagai musuh sebenar, tiba-tiba pemimpin tertinggi PN mengumumkan perkara sebaliknya.

Pas amat memerlukan “kebahagiaan” yang terjalin menerusi Muafakat Nasional (MN) dapat dipupuk semula apatah lagi parti itu menyedari mereka sukar untuk mempertahankan Kelantan, Terengganu dan Kedah sekiranya mereka menjadikan BN sebagai seteru utama.

Ini sekurang-kurangnya sudah dibuktikan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor, yang mana Pas tidak boleh bergantung harap kepada Bersatu dan Gerakan melainkan dengan menarik sama tangan UMNO.

Sebab itulah Pas terus berusaha untuk menyatukan semula UMNO dengan Bersatu walaupun mereka sedar perkara itu amat mustahil melihat kepada DNA penubuhan Bersatu adalah untuk ‘mematikan’ UMNO.

Lalu, apabila Muhyiddin mengumumkan bahawa lawan utama mereka dalam PRU-15 ini adalah BN dan bukannya PH, ia menyerlahkan ketidaksepakatan dalam PN sendiri.

Malahan kenyataan Muhyiddin itu bukan sahaja bertentangan dengan pendirian kepimpinan Pas, tetapi juga tidak dipersetujui oleh parti-parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Walaupun Muhyiddin cuba memperbaiki “kerosakan” yang dibuat dengan mengadakan pertemuan bersama Abdul Hadi Awang malam tadi, tetapi kepincangan tersebut telah tersebar dan sukar untuk ditutupi.

Pada masa yang sama, kenyataan Muhyiddin juga membuatkan kumpulan UMNO ‘pro-Bersatu’ tersentak dan membuatkan gerakan mereka untuk menyatukan kedua-dua parti itu dalam PRU-15 menjadi semakin sukar.

Persoalannya sekarang, apakah pendirian Pas selepas ini setelah perbincangan selama dua jam antara Muhyiddin dan Hadi malam tadi?

Apakah Pas akur dengan pendirian PN dengan menjadikan BN sebagai musuh utama atau mentaati keputusan Majlis Ulama parti itu yang enggan menjadikan parti-parti Melayu/Islam khususnya UMNO sebagai musuh utama?

Sama-sama kita tunggu…

MTB – Jaga jari takut tersilap taip

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan