24.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Dua bot pukat tunda langgar syarat sah lesen ditahan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AGSNSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Perak menahan dua bot nelayan tempatan kelas B, pada kedudukan 5.3 dan 5.2 batu nautika barat daya Tanjung Lomba-Lomba kerana melanggar syarat sah lesen, Isnin lalu.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, tangkapan dilakukan APMM dalam rondaan rutin di sekitar perairan Pulau Sembilan.

“Hasil pemeriksaan awal jam 7.15 pagi pada Isnin mendapati, bot pertama dikendalikan oleh tiga kru termasuk tekong warga tempatan.

“Seorang kru warga Indonesia dan seorang Myanmar, berumur lingkungan 41 hingga 49 tahun, sedang menangkap ikan kurang dari lapan batu nautika.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, kedua-dua kru warga asing itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini.

Advertisements

Beliau berkata, hasil pemeriksaan bagi tangkapan bot kedua pula mendapati, bot yang dikendalikan oleh tiga kru termasuk tekong warga tempatan dan dua orang kru warga Indonesia berumur lingkungan 38 hingga 55 tahun juga melakukan kesalahan yang sama.

“Tekong dan kru disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dengan melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan dan Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua kru, bot serta 300 kilogram ikan pelbagai jenis dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh, Sitiawan untuk proses penahanan, siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, APMM Perak berjaya menahan sebuah bot pukat tunda kelas B pada kedudukan 8.8 batu nautika barat Pulau Talang, Perak sekitar jam 10.30 pagi pada 2 September lalu.

Katanya, bot berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan