TIDAK sampai seminggu tersingkir awal di Kejohanan Dunia, jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia hari ini tewas pula pada pusingan pertama badminton Terbuka Jepun di tangan wakil India, Srikanth Kidambi.
Zii Jia yang turun sebagai pilihan kelima tampak tertekan sepanjang perlawanan, tewas 20-22, 21-23 dalam masa 38 minit.
Ia kekalahan pertama Zii Jia kepada Srikanth, pemain nombor 14 dunia selepas memenangi dua pertemuan terdahulu.
Minggu lalu di Tokyo, Zii Jia yang mengidam untuk merangkul kejuaraan dunia ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan ketiga kepada pemain China, Zhao Junpeng.
Sementara itu pasangan beregu campuran, Tan Kiang Meng-Lai Pei Jing menyekat kemaraan rakan sepasukan, Chan Peng Soon-Cheah Yee See 21-10, 21-14 untuk mara ke pusingan kedua.
Langkah beregu lelaki negara, Goh V Shem-Lim Khim Wah pula disekat pasangan Thailand, Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren 21-19, 21-15.-Edisi 9