BEKAS pemain perseorangan negara, Yeoh Kay Bin diumumkan selaku ketua jurulatih baharu bagi membimbing pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia.
Kay Bin, 44, bakal menggantikan Wong Tat Meng yang membuat keputusan meninggalkan Pasukan Lee Zii Jia (Team LZJ) mulai 31 Disember ini.
Untuk rekod, Kay Bin merupakan naib juara Kejohanan Remaja Dunia 1998 di Melbourne dan memenangi pingat gangsa pada Kejohanan Asia 2007 di Johor Bahru.
Beliau telah ‘berguru’ dengan jurulatih terkenal China, Li Mao selama tujuh tahun sebelum kembali ke tanah air pada 2021 dan kemudian menubuhkan sebuah akademi badminton.
Kay Bin juga telah dilantik oleh Persekutuan Badminton Afrika (BCA) untuk mengetuai pasukan kejurulatihan bagi memperkuatkan lagi para pemain Afrika menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Pelantikan itu menjadikan beliau jurulatih ketiga yang membimbing perjalanan karier Zii Jia sejak juara All-England 2021 itu membuat keputusan menjadi pemain profesional pada 2022.
Selain Tat Meng, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu juga pernah mendapat bimbingan jurulatih dari Indonesia, Indra Wijaya.
“Selamat datang ketua jurulatih baharu Team LZJ, Yeoh Kay Bin. Kay Bin, bekas pemain antarabangsa Malaysia, mempunyai pengalaman kejurulatihan yang luas di peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Beliau menyertai pasukan untuk meneruskan perjuangan Lee Zii Jia ke fasa seterusnya dalam kariernya,” menurut Team LZJ dalam hantaran di media sosial, hari ini.
Tat Meng, 57, yang pernah menjadi jurulatih skuad kebangsaan, mula menyertai Team LZJ sejak Julai tahun lalu.
Beliau memainkan peranan penting dalam membantu Zii Jia kembali ke dalam kelompok 10 terbaik dunia, memenangi gelaran dan membawa pulang pingat gangsa Olimpik Paris 2024.