24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Muktamad! BN bergerak solo, hanya berunding selepas PRU-15

Fokus di Terengganu adalah untuk kekalkan 10 kerusi menang dan tawan semula 12 kerusi kalah

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

KEPUTUSAN Barisan Nasional (BN) untuk bergerak solo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah muktamad dan telah diputuskan sebulat suara oleh parti.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, rundingan dengan parti lain yang mahu bersama BN hanya akan dibuat selepas pilihan raya.

Bagaimanapun beliau berharap ahli-ahli BN tidak mempersoalkan setiap keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan sekiranya parti itu perlu bekerjasama bagi membentuk kerajaan kerana apa yang lebih penting adalah kestabilan negara.

“Kita telah buat keputusan pada PRU-15 nanti BN akan bergerak solo, nak berunding lepas pilihan raya.

“Lepas PRU-15 kami akan lihat hala tuju kompas mana nak tubuh kerajaan dan dengan siapa yang beri keuntungan kepada kita.

“Tetapi, kalau menang selesa kita akan tubuh kerajaan secara solo tanpa minta sedekah kepada sesiapa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis prapelancaran jentera BN Terengganu, di Pantai Penunjuk, Kijal hari ini.

Hadir sama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zamry Abdul Kadir dan Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Advertisements

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebur, BN perlu menyelesaikan terlebih dahulu masalah dalaman parti agar boleh bergerak bersama-sama dalam satu pasukan.

“Saya terhidu banyak perbalahan di Terengganu. Jangan disebabkan seekor dua kerbau buat lumpur, semua terpalit.

“Saya tidak mahu lagi ada dalam kalangan kita yang berebut jawatan dalam parti dan budaya ‘cah keting’. Fokus kita di Terengganu adalah untuk kekalkan 10 kerusi menang dan tawan semula 12 kerusi yang kita kalah,” katanya.

Sementara itu ketika ditanya sama ada parti itu akan menolak permohonan Parti Bangsa Malaysia (PBM) untuk menyertai BN, beliau berkata, ia masih belum diputuskan.

“PBM minta untuk menjadi sebahagian daripada BN, menjadi ahli kita dan kita akan putuskan dalam mesyuarat Isnin ini,” katanya.

Sementara itu, Mohamad mengakui masih terdapat kelemahan di sana sini dalam jentera pilihan raya BN namun ia akan diatasi menjelang PRU nanti.

Katanya, beliau telah mengadakan jelajah di lapan negeri dan setakat ini berpuas hati dengan persiapan jentera, terutama negeri Terengganu yang dianggap terbaik setakat ini.

“Kita akan atasi kelemahan-kelemahan yang ada. Ini perkara biasa kerana sebelum ini mereka tak nampak,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan