32.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

4,053 pegawai tetap boleh pilih penempatan secara dalam talian

Mereka juga boleh memuat turun surat tawaran pelantikan secara tetap daripada portal Sistem Tawaran Pelantikan (MySTP) SPA mulai 29 Ogos ini.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SERAMAI 4,053 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi yang berjaya ditawarkan lantikan tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dibenar membuat pemilihan sendiri penempatan secara dalam talian menerusi sistem e-placement mulai pertengahan September ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata pemakluman mengenai tarikh sistem ini mula dibuka Kementerian Kesihatan (KKM) akan dikemukakan satu minggu lebih awal menerusi e-mel, dengan tarikh kuat kuasa untuk pegawai melapor diri bertugas adalah pada 17 Oktober depan.

Beliau berkata, mereka juga boleh memuat turun surat tawaran pelantikan secara tetap daripada portal Sistem Tawaran Pelantikan (MySTP) SPA mulai 29 Ogos ini, selepas pemakluman keputusan itu diperoleh pada kelmarin dan semalam.

“Pengambilan seramai 4,053 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi ini adalah urusan pengambilan jawatan tetap yang terbesar dilaksanakan sejak pelantikan secara kontrak bagi jawatan terbabit yang diperkenalkan pada 2016.

“Pengambilan jawatan tetap ini adalah perjawatan tetap tambahan yang kali pertama dilaksanakan sejak 2015,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Khairy mengumumkan 4,053 permohonan membabitkan perjawatan tetap sebagai pegawai perubatan (3,586), pergigian (460) dan 400 pegawai farmasi sudah pun diluluskan.

Katanya, untuk rekod sejak Dasar Pengoptimuman Sumber Manusia dalam Perkhidmatan Awam dan Dasar Kawalan Saiz Perkhidmatan Awam mula dilaksanakan pada 2015, tiada perjawatan baharu diluluskan melainkan dibuat secara tukar ganti dengan perjawatan kosong sedia ada.

Advertisements

“Selain daripada perwujudan jawatan tetap tambahan pada tahun ini, kerajaan juga bersetuju untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 1,500 perjawatan tetap tambahan membabitkan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi pada setiap tahun bermula 2023 sehingga 2025.

“Kerajaan juga bersetuju sebanyak 800 jawatan tetap pakar perubatan dan 70 pakar pergigian diwujudkan di KKM, setiap tahun mulai tahun hadapan, bagi menampung keluaran pakar perubatan tetap di fasiliti kesihatan di bawah KKM,” katanya.

Katanya, bagi pegawai yang tidak dilantik secara tetap, perkhidmatan kontrak mereka masih diteruskan mengikut kontrak berkuat kuasa.

“Mereka yang sedang berkhidmat di bawah khidmat wajib pula akan ditawarkan pelantikan semula secara kontrak selama dua tahun lagi selepas kontrak khidmat wajib tamat bagi tujuan kesinambungan perkhidmatan.

“Selain itu, mereka juga berpeluang dilantik semula secara kontrak selama empat tahun lagi bagi mengikuti pengajian kepakaran.

“Pegawai yang tidak dilantik secara tetap pada kali ini masih berpeluang untuk memohon semula dalam urusan pengambilan secara tetap pada tahun hadapan,” katanya.

KKM pada Februari lalu mengumumkan keputusan Jemaah Menteri untuk mewujudkan sejumlah 4,186 perjawatan tetap tambahan pada tahun 2022, yang membabitkan 3,586 jawatan pegawai perubatan, 460 jawatan pegawai pergigian dan 400 jawatan pegawai farmasi.-Edisi 9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan