30.9 C
Kuala Lumpur
Monday, December 2, 2024

Suzana Idayu Wati wanita pertama dilantik Pengarah Besar FELDA 

Mesti Baca

KETUA Pegawai Pelaburan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman mencatat sejarah sebagai wanita pertama yang dilantik sebagai Pengarah Besar FELDA.

Pelantikan Suzana Idayu Wati berkuat kuasa mulai hari ini bagi menggantikan Datuk Amiruddin Abdul Satar yang menamatkan perkhidmatannya pada 14 Oktober lalu.

Menurut kenyataan FELDA, Suzana Idayu Wati mempunyai pengalaman luas dalam industri perladangan sejak menyertai FELDA sebagai Pegawai Tadbir pada 1998 sehingga memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Pelaburan FELDA pada tahun 2008. 

Beliau kemudian menyertai FGV Holdings Berhad (FGV) sebagai Timbalan Ketua Eksekutif Kumpulan dan beberapa jawatan penting di FGV sebelum menjadi Ketua Pegawai Pelaburan Perkeso. 

“Kepimpinan beliau diperkuatkan dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam pelbagai sektor termasuk perbankan, kewangan, pelaburan, dan pengurusan aset institusi. 

“Beliau menganggotai pengurusan kanan dan ahli lembaga pengarah di lebih 35 entiti di dalam dan luar negara,” kata kenyataan itu hari ini.

Suzana Idayu Wati juga pernah menjadi Pengerusi Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) dan ahli Lembaga Pengarah FELCRA. 

Advertisements

FELDA berkata, sumbangan beliau semasa menjadi Pengerusi MSPO menyerlahkan komitmennya terhadap industri dan pengurusan lestari. 

Katanya, komitmen ini penting bagi memastikan FELDA memacu agenda kelestarian yang menyokong keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Suzana Idayu Wati juga merupakan ahli Lembaga Pengarah FELDA dan syarikat-syarikat di bawah Kumpulan FELDA, seperti FGV Holdings, MSM Holdings, dan Encorp Berhad.

Beliau juga memegang peranan sebagai Pengerusi IIUM Holdings Berhad dan Ahli Lembaga Pengarah di Private Pension Administrator.

Beliau memperoleh Doktor Falsafah dan Sarjana dalam Kewangan dari Universiti Putra Malaysia, Ijazah dalam Pengajian Perniagaan dari Huddersfield University, UK, serta Advance Management Program dari Harvard Business School, USA. 

“Dengan gabungan kelayakan akademik, pengalaman tempatan dan antarabangsa, serta kepimpinan yang berpandangan strategik, Suzana Idayu Wati dijangka memperkasakan lagi strategi dan daya saing FELDA.

“Dengan pelantikan ini, FELDA yakin bahawa Suzana Idayu Wati akan membawa FELDA ke arah pencapaian baharu dan memberi impak positif yang berkekalan kepada 112,638 keluarga peneroka serta generasi masa depan mereka di seluruh negara,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

ATPC kembang pasaran perubatan global di Indonesia

AGAPE ATP Corporation (ATPC) mengembangkan pasaran perubatan global di Indonesia menerusi tiga memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan institusi...

Lagi Artikel Berkaitan