MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan memberi penjelasan secara terperinci berhubung Rang Undang-Undang (RUU) hukuman tahanan di rumah dalam pergulungan dasar kementerian di Parlimen Khamis ini.
Beliau berkata, meskipun RUU itu dijangka dibentangkan tahun hadapan, namun rakyat perlu diberi pencerahan mengenai program tersebut agar jelas dan tidak seperti didakwa sesetengah pihak.
Menurut beliau, sejak perkara itu disebut dalam teks Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibarhim bulan lalu, ia telah mengundang pelbagai reaksi.
“Saya meneliti satu persatu dan memilih sesi pergulungan peringkat dasar Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dijadualkan pada Khamis akan saya jelaskan secara terperinci.
“Apakah rasional program itu nak kami buat, apakah proses, apakah parameter dan berapa ramai patut kami pertimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Sesi Townhall Bersama Menteri Dalam Negeri di Ibu Pejabat Jabatan Penjara Malaysia di Kajang hari ini.
Saifuddin berkata, KDN bersama Jabatan Penjara telah menyiapkan semua data yang diperlukan sebelum sebarang keputusan dasar diluluskan Kabinet dan dibentangkan ke Parlimen.
“Saya percaya pada akhir memberi penjelasan itu ia mampu menjernihkan beberapa pandangan yang kadang-kadang yang saya tengok hanya tertumpu pada seorang individu sahaja,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini kira-kira 20,000 banduan telah dikenal pasti untuk dimasukkan ke dalam program tersebut menerusi proses penilaian yang ketat.
“Sudah ada, setakat ini lebih kurang 20,000, bukan jumlah itu sekaligus, tidak. Ia ada beberapa lagi kriteria, maknanya dia tak boleh melanggar displin sepanjang dia menerima hukuman.
“Untuk itu Jabatan Penjara dan KDN sudah siap dengan semua datanya, rasional, sebab itu berdasarkan perkara tersebut KDN mendapat lampu hijau daripada Kabinet secara dasar.
“Bila keputusan dasar telah diperolehi, berikutnya KDN akan lakukan banyak sesi libat urus dengan ramai pemegang taruh kemudian kita akan mengubal satu draf Rang Undang-Undang akta tahanan rumah,” jelas beliau. – Edisi 9