31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Suami isteri mengaku tidak bersalah miliki RM5,300 wang palsu

Suami isteri itu didakwa memiliki 53 keping wang kertas RM100 yang mana mereka tahu bahawa wang itu adalah palsu.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEPASANG suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang, hari ini atas tuduhan memiliki wang palsu berjumlah RM5,300 pada bulan lalu.

Tertuduh, Muammar Raid Abdul Malik, 33 dan isterinya, Nadia Mohamed Hussain, 27, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka berdua di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Berdasarkan pertuduhan, suami isteri itu didakwa memiliki 53 keping wang kertas RM100 yang mana mereka tahu bahawa wang itu adalah palsu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik beralamat PMT 30 Mukim 8, Jalan Muthupalaniappan Sunway Wellesley, di Bukit Mertajam pada 11.30 malam, 29 Jun lalu.

Berikutan itu, mereka berdua didakwa melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Mohamad Syarafuddin Mamat Mokhtar manakala suami isteri itu tidak diwakili peguam.

Mohamad Syarafuddin memohon kepada mahkamah supaya menetapkan jaminan tinggi terhadap kedua-dua tertuduh berikutan suami isteri berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau.

Bagaimanapun, pasangan suami isteri itu membuat rayuan supaya mereka dikenakan jaminan yang rendah.

Tertuduh lelaki memaklumkan bahawa isterinya sedang hamil dan tidak bekerja, selain dia yang hanya mencari pendapatan dengan berniaga perlu menjaga ibu bapanya yang uzur.

Mahkamah kemudian menetapkan setiap tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

Dalam pada itu, mahkamah turut mengenakan syarat tambahan yang mana kedua-dua tertuduh perlu menyerahkan pasport sehingga kes selesai serta melapor diri dua minggu sekali kepada pegawai penyiasat kes.

Kes akan disebut semula pada 11 Ogos ini untuk serahan dokumen.

-EDISI9

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan