28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Selepas jam tangan, Najib persoal pula pemberian Axia

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini mempersoalkan pemberian sebuah Perodua Axia oleh Ahli Parlimen Tanah Merah dalam mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Ini berikutan penafian Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abd Aziz mengenai dakwaan pemberian jam tangan jenama G-Shock dan payung bagi pengunjung pelancaran Perikatan Nasional (PN) Negeri Kelantan baru-baru ini.

Ikmal mendakwa program tersebut adalah mesyuarat kelompok PIBG sekolah-sekolah di Tanah Merah anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Nampaknya sekolah-sekolah kebangsaan Malaysia sudah kaya-raya. Setiap kali diadakan mesyuarat PIBG, sekolah akan hidangkan 100 ekor kambing golek serta membuat cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah Perodua Axia, lima buah motorsikal, 10 ekor lembu, 10 TV, 20 telefon bimbit dan 200 hamper.

“Jangan hanya dibuat di Tanah Merah. Buatlah juga di semua sekolah kebangsaan dalam negara. Ini baru adil. Betul tak, Dr Radzi Jidin,” katanya dengan sinis menerusi beliau Facebook hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu turut menyeru kenalan Facebooknya agar berkongsikan hidangan dalam mesyuarat PIBG masing-masing.

“Siapa yang bayar? Kementerian ataupun PN? Tapi tarikh dan lokasi acara tersebut sama dengan pelancaran PN Kelantan?

“Hadiah utama pelancaran juga sebuah Perodua Axia? Dan diberi oleh mereka yang berbaju PN. Kebetulan ini. Lepas itu, umum ramai orang yang hadir di pelancaran PN Kelantan adalah bukti sokongan pada PN adalah kuat,” kata Najib.

Semalam, Ikmal Hisham menafikan dakwaan bahawa jam tangan G-Shock dan payung diberikan kepada orang ramai bagi meraih sokongan dalam sebuah program PN di Kelantan baru-baru ini.

Beliau menegaskan orang ramai menghadiri acara itu secara sukarela dan pemberian jam tangan atau payung sebagai cenderahati kepada 30,000 hadirin adalah tidak munasabah kerana menelan belanja puluhan juta ringgit.

Advertisements

Sementara itu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, tiada satu sen pun peruntukan Kementerian Pendidikan sama ada di peringkat negeri, daerah mahupun sekolah digunakan untuk membiayai mesyuarat kelompok PIBG itu.

Sebaliknya, menurut beliau, sumbangan dan perbelanjaan bagi progam tersebut dibiayai sendiri oleh Ikmal.

“Untuk makluman semua, semakan kementerian mendapati tiada sesen pun peruntukan Kementerian Pendidikan Malaysia sama ada di peringkat JPN, PPD atau sekolah digunakan untuk membiayai Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PIBG Secara Berkelompok Sekolah-sekolah di Tanah Merah.

“Sebaliknya, sumbangan dan perbelanjaan bagi program ini dibiayai oleh Ahli Parlimen Tanah Merah,” katanya menjawab pertanyaan Najib, menerusi Facebooknya.

Najib yang masih tidak berpuas hati dengan penjelasan Ikmal dan Radzi terus mempersoal peruntukan yang digunakan bagi program pelancaran PN itu dan mendakwa Ikmal telah menyalahgunakan kuasanya sebagai Timbalan Menteri Pertahanan.

“Maksudnya PPBM/PN (parti) serta timbalan menteri kamu (Radzi) yang sponsor dan salah gunakan nama sekolah kebangsaan untuk menipu ibubapa hadir ke mesyuarat PIBG/pelancaran PN Kelantan dengan hidangan 100 kambing golek, hadiah sebuah Perodua, 5 buah motorsikal, 10 TV, 20 telefon bimbit dan 200 hamper?

“Betul ke tidak?,” soal Najib.

Sehingga kini belum ada maklum balas baik oleh Ikmal mahupun Radzi mengenai pertanyaan balas yang diajukan Najib.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Didenda RM30,000 jual RON95 kepada kenderaan asing

SEORANG pemilik sebuah stesen minyak didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Selayang kerana menjual barangan kawalan berjadual petrol RON95 kepada...

Lagi Artikel Berkaitan