24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Sri Lanka isytihar darurat selepas presiden lari

Wickremesinghe bermakna Speaker Parlimen, Mahinda Abeywardana, tidak boleh memangku jawatan presiden sehingga presiden baharu dilantik, seperti mana ditetapkan Perlembagaan dan dipersetujui sebelum ini.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SRI Lanka yang dilanda krisis hari ini mengisytiharkan darurat di seluruh negara beberapa jam selepas Presidennya, Gotabaya Rajapaksa, melarikan diri ke luar negara, menurut kenyataan pejabat Perdana Menteri seperti dilaporkan Agensi.

“Memandangkan presiden berada di luar negara, darurat diisytiharkan bagi menangani kemelut yang dihadapi di dalam negara,” kata jurucakap perdana menteri, Dinouk Colombage, kepada AFP.

Menurutnya, pengisytiharan itu dibuat oleh Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe, yang kini memangku jawatan presiden, walaupun sebelum ini beliau menawarkan akan meletak jawatan sebagai perdana menteri.

Tindakan Wickremesinghe bermakna Speaker Parlimen, Mahinda Abeywardana, tidak boleh memangku jawatan presiden sehingga presiden baharu dilantik, seperti mana ditetapkan Perlembagaan dan dipersetujui sebelum ini.

Bagaimanapun, pemimpin penunjuk perasaan antikerajaan menuduh Wickremesinghe kini bersubahat dengan Rajapaksa dan memberi amaran bahawa mereka akan ‘ditentang habis-habisan’ jika tidak meletak jawatan menjelang petang ini.

“Jika kami tidak mendengar pengesahan peletakan jawatan mereka berdua menjelang petang ini, kami akan ambil alih Parlimen dan bangunan kerajaan lain.

“Kami membantah sama sekali kerajaan Gotabaya-Ranil, kedua-duanya mesti berundur,” kata Buddhi Prabodha Karunaratne, salah seorang penganjur tunjuk perasaan di Colombo baru-baru ini.

Rajapaksa melarikan diri awal pagi tadi, kata sumber kerajaan kepada Reuters, beberapa jam sebelum beliau sepatutnya meletakkan jawatan selepas bantahan meluas berhubung pengendalian krisis ekonomi yang melanda.

Pemergian presiden kali pertama dilaporkan oleh Associated Press (AP), dengan Rajapaksa, isteri dan dua pengawal peribadinya meninggalkan Sri Lanka menaiki pesawat Tentera Udara menuju ke bandar Male, ibu negara Maldives.

Sumber kerajaan berkata, Rajapaksa meninggalkan negara itu tetapi tidak memberikan butiran lanjut tetapi abangnya, yang juga bekas perdana menteri, Mahinda Rajapaksa dan adiknya, bekas menteri kewangan, Basil Rajapaksa, masih berada di Sri Lanka.

Advertisements

Berdasarkan makluman awal, Abeywardana semalam mengumumkan Rajapaksa akan meletakkan jawatan hari ini untuk membolehkan peralihan kuasa secara aman.

Rajapaksa dituduh terbabit salah urus ekonomi sehingga negara kehabisan pertukaran asing untuk membiayai import paling penting sehingga menjejaskan 22 juta penduduknya.

Sabtu lalu, Rajapaksa melarikan diri dari istana presiden di Colombo di bawah perlindungan tentera laut sejurus sebelum puluhan ribu penunjuk perasaan yang berang menyerbu kediaman rasminya.

Menurut seorang pegawai tinggi pertahanan, Rajapaksa, 73, berlindung di pangkalan tentera laut di timur laut pulau itu dan dibawa ke pangkalan udara Katunayake, bersebelahan dengan lapangan terbang antarabangsa utama negara itu.

Untuk rekod, Sri Lanka mengalami masalah kekurangan bekalan makanan dan bahan api selama berbulan-bulan, terputus bekalan elektrik dan inflasi yang melambung tinggi selepas kehabisan mata wang asing untuk mengimport barangan penting.

Kata Abeywardana, proses peralihan jawatan mungkin mengambil masa antara tiga hari iaitu tempoh minimum bagi mengadakan sidang Parlimen, sehingga maksimum 30 hari dibenarkan mengikut undang-undang.

Malah, pengundian bagi memilih pemimpin baharu di Parlimen dijangka boleh diadakan pada 20 Julai ini, sekiranya Rajapaksa meletak jawatan.

Parti pembangkang utama, Samagi Jana Balawegaya (SJB), sudah pun berbincang dengan kumpulan politik kecil untuk mendapatkan sokongan kepada pemimpin mereka, Sajith Premadasa, 55, yang kalah dalam pilihan raya presiden 2019.

Bekas penyokong setia Rajapaksa, Dullas Alahapperuma, 63, iaitu bekas Menteri Media, dijangka menjadi perdana menteri baharu, menurut seorang penggubal undang-undang SJB yang terbabit dalam rundingan itu.

Namun, kini semuanya menjadi tanda tanya kerana Rajapaksa tidak mengumumkan peletakan jawatan manakala pejabat perdana menteri mengisytiharkan darurat di seluruh negara.

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan