24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Siti Nuramira tidak akan didakwa di Mahkamah Syariah

Seksyen 298A Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman yang lebih berat.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

WANITA yang menghina Islam ketika membuat persembahan komedi di sebuah kelab di ibu negara, Siti Nuramira Abdullah tidak akan didakwa di Mahkamah Syariah.

Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan berkata, tindakan tidak meneruskan pendakwaan terhadap Siti Nuramira, 26, berdasarkan  Seksyen 58 (2) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) dan Seksyen 181 Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutan) 1997.

“Pertuduhan jenayah dimulakan di Mahkamah Sivil (Mahkamah Sesyen Jenayah) pada 13 Julai 2022 di bawah seksyen 298A Kanun Keseksaan. Seksyen 298A Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman yang lebih berat.

“Maslahah dari sudut pentadbiran keadilan bagi mengelakkan Orang Kena Tuduh (OKT) dituduh di dua mahkamah yang berbeza bagi mencapai matlamat yang sama iaitu untuk dihukum atas kesalahan yang dilakukan,” kata jabatan itu dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Siti Nuramira sepatutnya didakwa hari ini di Mahkamah Tinggi Syariah mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 kerana menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina.

Sabit kesalahan, Siti Nuramira boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-dua sekali.

Advertisements

Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.

Menurut kenyataan itu lagi, kes terhadap Siti Nuramira didaftarkan pada 13 Julai lalu berdasarkan siasatan awal yang dijalankan terhadap Siti Nuramira.

“Sebutan pertama ditetapkan pada 14 Julai 2022 dan ditangguhkan pada 21 Julai 2022. Tertuduh telah ditahan oleh pegawai penguatkuasaan agama pada 19 Julai 2022 untuk siasatan lanjut,” kata kenyataan itu lagi.

Terdahulu, pasukan pembelaan Siti Nuramira mengeluarkan kenyataan wanita itu telah dibebaskan oleh Jawi tanpa jaminan atau bon serta merta.

Tambah kenyataan itu lagi, tindakan tidak meneruskan pendakwaan itu adalah sejajar dengan matlamat syariah yang menekankan  pendekatan ta’dib (mendidik) dalam pentadbiran jenayah Syariah bagi membawa tertuduh ke arah amalan Islam yang sebenar.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan