34.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

PM umum pengecualian duti setem pembelian rumah pertama

LHDN memaklumkan bahawa tuntutan pengecualian duti setem di bawah HOC adalah sebanyak RM957.8 juta.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan pengecuali duti setem 100 peratus bagi rumah berharga RM500,000 ke bawah melalui inisatif Pemilikan Perumahan Keluarga Malaysia atau I-MILIKI bagi pembelian rumah pertama dari 1 Jun lalu hingga Disember 2023.

Menurut beliau, insentif pengecualian sebanyak 50 peratus pula diberikan bagi rumah berharga melebihi RM500,000 sehingga RM1 juta.

Menurutnya, meskipun pengecualian duti setem ini akan mengurangkan kutipan hasil kepada negara, namun beliau menegaskan tindakan tersebut merupakan komitmen kepada Keluarga Malaysia. 

“Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan bahawa tuntutan pengecualian duti setem di bawah Kempen Pemilikan Rumah (Home Ownership Campaign atau HOC) adalah sebanyak RM957.8 juta.

“Malah, tuntutan pengecualian duti setem paling tinggi adalah bagi harga rumah RM500,000 dan ke bawah,” katanya semasa berucap sempena Majlis Pelancaran Home Ownership Programme (Program Pemilikan Kediaman) (HOPE) dan Karnival Jom Beli Rumah di Pusat Pameran  Mid Valley di Kuala Lumpur, hari ini.

Untuk rekod, HOC dimulakan pada tahun 2019 hingga 2021, masih diteruskan bagi pembelian rumah pertama bernilai sehingga RM500,000 sehingga 31 Disember 2025.

Ismail Sabri menegaskan agenda perumahan begitu dekat di hati beliau, malah Kerajaan menjadikan agenda perumahan berkenaan sebagai satu prioriti dan tiada kompromi.

“Ini kerana rumah yang selesa akan melahirkan Keluarga Malaysia yang harmoni dan bahagia. Pendek kata, semua orang mahukan kediaman sebagai tempat berlindung ibarat sebuah syurga.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai HOPE, Ismail Sabri menyatakan program berkenaan bukan sahaja membantu mempromosi perumahan untuk segenap lapisan masyarakat tetapi juga bagi melihat ekosistem sektor perumahan secara holistik.

Advertisements

“Dalam hal ini, komitmen Kerajaan untuk memastikan penyediaan kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki, haruslah didaya oleh semua pihak penyedia perumahan termasuklah pihak swasta.

Malah beliau juga berharap lebih banyak kediaman mampu milik dapat disediakan oleh pihak pemaju perumahan yang menepati had pendapatan Keluarga Malaysia berdasarkan lokaliti.

“Menjadi harapan saya agar lebih banyak program bersifat pendidikan diperhebatkan seperti Kempen Bijak Beli Rumah dan Pemilikan Kediaman pada usia muda.

“Ini pastinya dapat membantu Keluarga Malaysia khususnya pembeli rumah pertama mendapat pengetahuan tentang pemilikan hartanah dan memudahkan mereka membeli kediaman idaman mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.

Selain itu, menurut Ismail Sabri, kerajaan turut memutuskan Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) diaktifkan semula selepas menyedari menduduki dan memiliki rumah adalah satu daripada keperluan rakyat untuk meningkatkan kualiti hidup.

“MPMMN ini melihat keperluan rumah mampu milik di seluruh negara dengan turut membabitkan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, pemaju swasta, Bank Negara Malaysia serta badan berkepentingan seperti Khazanah, Rehda dan Persatuan Pembeli Rumah (HBA).

“Di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), kita mensasarkan untuk menyediakan sebanyak 500,000 unit rumah mampu milik, satu usaha yang boleh direalisasikan dengan bantuan dan gandingan tenaga daripada semua pihak,” katanya.

Menurutnya, untuk merealisasikan hasrat itu seperti diputuskan dalam mesyuarat MPMMN, kerajaan persekutuan akan memberi subsidi dan kerajaan negeri pula menyediakan tanah, manakala pihak bank mempermudahkan pembiayaan bagi memastikan rumah PPR dan rumah mampu milik dapat dijual atau dibeli dengan harga yang berpatutan.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan