34.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Pelajar peroleh ijazah kelas pertama tak perlu bayar balik PTPTN

Keistimewaan itu dikembalikan kepada semua pelajar yang graduasi mulai 2019 tanpa mengira status ekonomi, bangsa dan agama.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN bersetuju untuk mengembalikan keistimewaan pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada mereka yang berjaya memperoleh ijazah sarjana muda kelas pertama, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, keistimewaan itu akan diberikan kepada semua pelajar yang menamatkan pengajian bermula 2019 tanpa mengira status ekonomi, bangsa dan agama.

Beliau berkata, langkah itu sebagai dorongan kepada anak-anak Keluarga Malaysia untuk belajar bersungguh-sungguh dan mendapatkan kelulusan yang terbaik dalam pengajian mereka.

“Saya berharap PTPTN dapat berbincang dengan Kementerian Kewangan berkenaan perkara ini dari segi peruntukan yang terlibat,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN di Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri menasihati para peminjam PTPTN agar membayar balik pinjaman mereka bagi menjamin kesinambungan dana kepada pelajar-pelajar baharu termasuk yang juga waris masa hadapan negara.

Beliau berkata, seramai 3.67 juta Keluarga Malaysia telah dibantu bagi meneruskan pengajian dengan keseluruhan pinjaman berjumlah RM 66.87 bilion sehingga kini.

Kata Perdana Menteri, sehingga akhir bulan lepas, lebih 2 juta atau 82.04 peratus peminjam telah membayar balik pinjaman dengan jumlah kutipan sebanyak RM 17.8 bilion.

“Terima kasih saya ucapkan kepada para peminjam yang komited membuat bayaran balik. Bagi yang belum berbuat demikian, saya menasihatkan supaya melunaskan pinjaman agar proses pinjaman kepada peminjam lain seterusnya tidak tertangguh.

“Saya percaya, ramai yang telah menamatkan pengajian memperolehi pekerjaan yang baik dan secara langsung menaikkan taraf kehidupan mereka, sekali gus menjadi aset ataupun modal insan penting kepada negara.

“Suka saya tekankan di sini bahawa tindakan membayar balik pinjaman pendidikan amat mustahak bagi menjamin kesinambungan dana kepada pelajar-pelajar baharu yang juga waris masa hadapan negara,” kata beliau.

Sementara itu, bagi meningkatkan kutipan bayaran balik pinjaman, Ismail Sabri berharap PTPTN dapat menjalinkan kerjasama strategik dengan kerajaan negeri, sepertimana dilakukan dalam aspek penabungan,

“Saya difahamkan kerjasama ini telah mula diadakan dengan Kerajaan Negeri Sarawak dengan amaun yang disumbangkan lebih daripada RM 30 juta.

“Langkah kerjasama ini amat baik dan perlu dipertingkatkan dengan semua kerajaan negeri. PTPTN menyasarkan kutipan balik pinjaman melalui inisiatif ini adalah sebanyak RM 50 juta,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata, kerajaan melalui PTPTN telah menyediakan peruntukan lebih RM 3 bilion setahun bagi membiayai pinjaman pendidikan kepada purata lebih 180,000 pelajar baharu yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.

Bagaimanapun, kata beliau, timbul pula kebimbangan tentang kebergantungan rakyat terhadap pinjaman yang menyebabkan graduan masa hadapan terikat dengan bayaran balik pinjaman pendidikan setelah menamatkan pengajian.

“Justeru, kerajaan mewujudkan inisiatif Simpan SSPN sejak 2004 bagi memastikan Keluarga Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman semata-mata dan tidak terbeban di kemudian hari.

“Simpan SSPN telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dengan keseluruhan deposit simpanan berjumlah RM 12.5 bilion dengan bilangan akaun sebanyak 5.4 juta sehingga akhir bulan lepas.” katanya.

Perdana Menteri percaya Simpan SSPN akan terus membantu golongan yang memerlukan, di samping membudayakan amalan menabung.

-EDISI9

Terkini

Keputusan peperiksaan STAM 2023 diumum 26 Mac ini – KPM

KEPUTUSAN Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2023 akan dikeluarkan pada hari Selasa, 26 Mac ini. Kementerian Pendidikan...

Lagi Artikel Berkaitan