PELAWAK Shahrol Shiro mengajak Datuk Afdlin Shauki untuk sama-sama membuat laporan polis terhadap kelab komedi Crackhouse yang didakwa sering menampilkan jenaka yang ‘menjijikkan‘.
Pemilik nama sebenar Shahrol Azizie Azmi itu berkata, beliau menghormati sikap jujur Afdlin berhubung isu tersebut dan tetap menganggapnya sebagai cikgu dalam seni jenaka.
Pada masa yang sama, Shahrol bersyukur kerana Afdlin sudah sedar bahawa apa yang dikritik terhadap kenyataan pelakon dan pengarah itu sebelum ini bukan serangan politik atau untuk membunuh karakter.
“Alhamdulillah. Syukur bila abang sudah tersedar. Ternyata seperti kenyataan abang ini sebab serangan politik dan ingin melakukan pembunuhan karakter abang tidak benar sama sekali.
“Ini adalah mengenai isu agama yang dijadikan bahan stand up komedi yang telah melepasi garisan sepatutnya hingga jatuh kepada penghinaan.
“Tahniah kerana telah meletakkan kepentingan agama di hadapan. Jom kita buat report (laporan polis) agar tindakan tegas diambil.
“Terima kasih bang, mohon ampun dan maaf jika terkasar bahasa hingga mengguris persahabatan kita,” katanya menerusi ruangan komen dalam Instagram Afdlin hari ini.
Afdlin sebelum ini membantah penutupan sementara kelab tersebut oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya kerana tindakan seorang wanita yang tampil di pentas dengan membuka tudung dan pakaian yang disifatkan sebagai menghina agama Islam.
Bagaimanapun, Shahrol membantah kenyataan Afdlin dan menganggap kenyataan rakan pelawaknya itu sebagai kenyataan politik dan usaha untuk membunuh karakternya.
Untuk rekod, Shahrol dan Afdlin merupakan dua pelawak yang aktif dalam politik tetapi menyokong parti yang berbeza.
Shahrol merupakan penyokong tegar UMNO manakala Afdlin pula bersama PKR malah turut bertanding dalam pemilihan parti itu baru-baru ini namun tewas.
Sementara itu, seorang lagi pelawak, Suib Sepahtu turut merasa lega dengan kenyataan terbaharu Afdlin yang mengucapkan rasa syukur.
“Salut, Alhamdulillah,” komen Suib dalam Instagram Afdlin. – Edisi 9