24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Afdlin tak mahu lagi pertahankan kelab komedi ‘menjijikkan’

Mesti Baca

SETELAH diberikan maklumat-maklumat kandungan jenaka di kelab komedi Crackhouse, akhirnya Datuk Afdlin Shauki akur dan tidak mahu lagi mempertahankan kelab tersebut yang dianggap ‘menjijikkan’.

Beliau yang sebelum ini menggesa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kelab komedi itu, bagaimanapun turut mengutuk perbuatan menghina agama di pentas lawak tersebut.

“Walaupun hanya segelintir, jika ianya berterusan akan menjadi barah. Perbuatan-perbuatan seperti di atas yang dibanggakan membuat saya rasa jijik dan saya tak boleh lagi memberi sokongan kepada Crackhouse Comedy Club!,” katanya menerusi Intagram hari ini.

Kenyataan Afdlin itu disertakan dengan sekeping gambar menunjukkan seorang peserta lawak menghulur satu tin minuman keras kepada seorang penonton wanita bertudung (Islam) agar penonton itu membuka tin tersebut.

Kelab komedi Crackhouse yang beroperasi menggunakan lesen restoran dan minuman keras, telah digantung oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) susulan insiden seorang wanita tampil di pentas komedi itu dengan membuka tudung dan pakaian yang disifatkan menghina agama Islam.

Perlakuan seperti ini membuatkan Afdlin Shauki menarik balik sokongannya kepada kelab komedi Crackhouse. – Sumber: IG Afdlin Shauki

Bagaimanapun beberapa pelawak dan selebriti tanah air termasuk Afdlin tampil mempertahankan kelab tersebut dan menggesa tindakan tidak dikenakan hanya kerana perlakuan wanita tersebut.

Ekoran itu, warganet telah menyelongkar rakaman-rakaman video persembahan di kelab komedi Crackhouse sebelum ini dan mendapati terdapat beberapa persembahan oleh pelawak-pelawak tertentu menjadikan agama dan kaum-kaum tertentu sebagai bahan untuk dipersenda.

Advertisements

Pemuda UMNO turut mendesak agar Crackhouse ditutup terus kerana telah acap kali memperlekeh Islam secara halus menerusi persembahan komedinya.

Ketua pergerakan itu, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, isu kelab komedi tersebut bukan hanya melibatkan perbuatan seorang wanita sahaja.

“Cubalah tengok di Youtube. Bukan sekali dua tapi bersiri-siri lawak jenaka dan komedi yang menyindir, meremeh dan memperlekeh Islam dan secara halus juga mempersendakan kaum tertentu berterusan diadakan melalui pentas kelab ini,” katanya.

Afdlin yang kini bergiat aktif dalam politik berkata, sememangnya sejak awal beliau mengecam sekeras-kerasnya apa-apa perbuatan menghina agama di pentas lawak.

Katanya, sokongan beliau kepada kelab tersebut sebelum ini hanya bertujuan untuk kesinambungan rezeki pelawak-pelawak yang kebanyakannya mempunyai jenaka berkualiti dan tidak menghina sesiapa.

“Sekarang ini nasihat saya pada pelawak-pelawak komedi solo (stand-up) cari dahulu tempat alternatif untuk mencari rezeki pasal benda ni takkan settel (selesai) awal dan seharusnya kita biarkan pihak berkuasa buat kerja mereka dan jika mereka disabit kesalahan, mereka mestilah menerima pembalasannya.

“Abang mendoakan agar adik-adik pelawak yang terkesan sentiasa dilindungi sewaktu dugaan ini dan rezeki korang terus murah. Kita hanya boleh berjuang berdasarkan informasi yang diterima dan pada ketika ini, informasi ni membuat abang tak boleh lagi menyokong agar Crackhouse terus dibuka,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan