24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

KKM arah 4 produk kosmetik henti jualan serta-merta

Produk-produk kosmetik itu dikesan mengandungi racun berjadual seperti merkuri, hydroquinone dan tretinoin.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menggesa orang ramai supaya mengelak daripada membeli dan menggunakan beberapa produk kosmetik, yang dikesan mengandungi racun berjadual seperti merkuri serta hydroquinone dan tretinoin.

Produk yang disenaraikan itu adalah Biela Beauty Glowing Night Cream, BL Skincare Day Cream 1, BL Skincare Day Cream 2 dan BL Skincare Night Cream.

Berikutan itu, notifikasi produk-produk kosmetik terbabit telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah serta hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

Beliau berkata, penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kemerahan pada kulit, tidak selesa, pedih, hipersensitif kepada cahaya matahari dan meningkatkan risiko kanser kulit.

“Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan.

Advertisements

“Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Justeru, Dr Noor Hisham berkata, penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik terbabit perlu dihentikan serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Pada masa sama, orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik berkenaan dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Orang awam juga digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan