29.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Pon Gun terkejut tindakan TMJ, minta tarik balik keputusan

Mesti Baca

KETUA Jurulatih Malaysia, Kim Pon Gun terkejut dengan tindakan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang membuat keputusan mengundurkan diri daripada pengurusan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).

Menurut jurulatih dari Korea Selatan itu, Tunku Ismail telah banyak mengubah landskap bola sepak di Malaysia malah telah membawa JDT ke tahap lebih tinggi.

Sehubungan itu, beliau berharap bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu dapat mempertimbangkan semula keputusannya.

“Bagi saya, ini adalah satu kerugian amat besar kepada bola sepak Malaysia jika Tunku Ismail memutuskan untuk keluar daripada dunia bola sepak.

“Dalam masa kurang sedekad, Tunku Ismail berjaya membawa JDT ke tahap lebih tinggi selari dengan semangat cintakan bola sepaknya yang mendalam. Lantaran itu, bola sepak Malaysia sememangnya perlukan TMJ,” katanya menerusi Facebook FAM hari ini.

Sebahagian besar pemain kebangsaan beraksi untuk JDT sekali gus membantu meningkatkan keserasian dalam padang.

Semalam, TMJ mengejutkan para peminat dan penyokong bola sepak Johor apabila mengumumkan mengundurkan diri daripada menguruskan kelab paling berjaya di Malaysia itu.

Beliau berkata, tindakan itu dibuat disebabkan tanggungjawab dan komitmen lain yang perlu dilakukan.

Bagaimanapun, beliau masih kekal sebagai pemilik JDT.

Pan Gon berkata, beliau amat menyedari pengaruh besar TMJ terhadap bola sepak di Malaysia sebelum tiba di negara ini lagi.

Katanya, TMJ telah berjaya meletakkan JDT ke tahap yang membolehkan kelab itu layak bermain dalam Liga Juara-Juara Asia.

“Terima kasih kepada sumbangan Tunku Ismail ini yang mana JDT telah mendapat pengiktirafan di seluruh Asia sekaligus membantu meningkatkan taraf bola sepak kelab di Malaysia.

“Mentaliti kemenangan diterapkan Tunku Ismail adalah penting untuk melaksanakan perubahan dalam bola sepak tempatan,” kata Pan Gon.

Pan Gon berkata Tunku Ismail perlu kekal bukan sahaja demi kelabnya tetapi untuk kepentingan pasukan kebangsaan juga.

Beliau berkata, dibawah kendaliannya, JDT telah menyalurkan lebih 15 pemain untuk pasukan kebangsaan malah lebih ramai pemain baharu yang lebih baik sedang dipersiapkan.

“Tunku Ismail sentiasa menyokong pasukan kebangsaan sejak awal lagi dan kami amat menghargai jasanya.

“Malah sebelum kedatangan saya, saya juga sudah mengetahui akan kemudahan dan infrastruktur latihan JDT adalah bertaraf Eropah. Kami menghargai tawaran Tunku Ismail untuk Harimau Malaya berlatih di Johor,” katanya.

Pan Gon berkata, dengan infrastruktur yang ada, para pemian yang berlatih di sana boleh mendapat manfaat daripada kemudahan terkini.

“Pada sudut pandangan peribadi saya, ia dilihat sebagai satu lagi sumbangan JDT kepada bola sepak Malaysia,” katanya.

Tambah Pan Gon, dengan prestasi disumbang JDT ini, ia membantu meningkatkan lagi profil bola sepak Malaysia terutama di sudut pembangunan dan penjenamaan bola sepaknya yang mampu dijadikan contoh kepada kelab bola sepak negeri. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan