25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Hukuman mati mandatori dimansuhkan – Wan Junaidi

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN hari ini bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, keputusan itu dicapai selepas pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, kelmarin.

Menurut beliau, kerajaan juga secara prinsipnya menerima dan mengambil maklum syor Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dijelaskan melalui laporan kajian tersebut.

Beliau berkata, jawatankuasa itu diketuai mantan Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum dan dianggotai pakar bidang perundangan seperti bekas Hakim Besar Malaya, bekas Peguam Cara Negara, pengamal undang-undang, pensyarah undang-undang dari institusi pengajian tinggi awam terkemuka dan pakar kajian jenayah.

“Jemaah Menteri bersetuju agar penelitian dan kajian lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234] dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara Mahkamah.

“Kajian lanjut ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri serta lain-lain kementerian dan jabatan berkepentingan.

“Tindakan ini amat signifikan bagi memastikan pindaan akta yang berkaitan mengambil kira prinsip proportionality dan keperlembagaan mana-mana cadangan kepada kerajaan nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Junaidi berkata, kerajaan juga turut mengkaji kebolehlaksanaan berkaitan hala tuju sistem keadilan jenayah antaranya pewujudan prosedur prapenghukuman, penubuhan Majlis Penghukuman dan pembangunan Garis Panduan Penghukuman.

Selain itu, kata beliau, penubuhan Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang, pembaharuan institusi kepenjaraan dan pelaksanaan hukuman berdasarkan restorative justice juga akan dikaji.

“Keputusan berkaitan perkara ini menunjukkan keutamaan kerajaan memastikan hak semua pihak terpelihara dan terjamin, sekali gus mencerminkan ketelusan barisan kepimpinan negara dalam menambahbaik sistem keadilan jenayah negara yang serba dinamik,” katanya. – Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan