DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan lebih awal berbanding tempoh mandat Parlimen berakhir pada pertengahan tahun depan.
Sehubungan itu, Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO meminta semua jentera Barisan Nasional (BN) sentiasa bersiap siaga menghadapi PRU-15 yang boleh diadakan pada bila-bila masa yang dirasakan sesuai.
“Kita kena perlu sentiasa bersedia, pilihan raya paling lewat boleh diadakan Julai (tahun hadapan), lebih kurang setahun sahaja daripada sekarang, setahun tidak lama bagi parti politik, untuk mengadakan pilihan raya.
“Jadi kena bersedia, itu kalau paling lewat setahun tetapi pilihan raya mungkin lebih awal dari tarikh akhir penggal,” kata Ismail Sabri selepas perjumpaan khas dan ramah mesra petugas Jalinan Rakyat (JR) Wanita Bera bersama Perdana Menteri di Kompleks Rakan Muda di Bera hari ini.
Menurut beliau, sejak dahulu tarikh pilihan raya umum tidak dibincangkan di khalayak ramai dan semua jentera perlu sentiasa bersiap siaga.
Beliau berkata, persediaan awal penting bagi memastikan jentera pilihan raya tidak kelam-kabut dan dapat bergerak lancar selepas tarikh pilihan raya diumumkan kelak.
“Saya bangga jentera JR Bera ini kerana biasanya dulu JR terdiri wanita UMNO sahaja tetapi di Bera ini kita boleh wujudkan JR ini daripada Wanita MCA dan juga Wanita MIC, ini pertama kali kita adakan dan sekarang ini tiga sayap wanita bekerjasama gerakkan kajian sikap untuk mendapatkan sikap pengundi,” katanya.
Mengulas Akta Pendanaan Politik, Perdana Menteri berkata, perkara itu sedang dalam kajian awal dan perlu melalui prosedur sebelum dibahaskan dan diluluskan.
Beliau berkata, pada masa ini Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Undang-Undang di bawah Jabatan Perdana Menteri telah diminta membuat kajian terperinci tentang perkara itu.
“Dari segi prosedur, Jabatan Peguam Negara akan membuat draf dari segi undang-undang dan serahkan kepada Kabinet melalui Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang).
“Mereka kena bentangkan kepada Kabinet, selepas Kabinet luluskan baru dibentangkan dalam parlimen untuk dibahaskan dan diluluskan,” katanya.