LEGASI Allahyarham Tun Arshad Ayub khususnya dengan menubuhkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah melahirkan banyak profesional dan juga usahawan tekno Melayu di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kini universiti tersebut telah melahirkan lebih 700,000 graduan.
Menurutnya, negara kehilangan seorang tokoh yang sangat berjasa dan meninggalkan legasi yang tidak ternilai untuk Keluarga Malaysia.
“Allahyarham adalah seorang pendidik yang berpandangan jauh yang memberi impak besar kepada pendidikan negara.
“Allahyarham juga menunjukkan pencapaian yang luar biasa dalam semua bidang yang diceburi,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut berkongsikan perasaan sedih dan sayunya sebaik mendapat khabar ahli akademik dan pendidik terbilang itu meninggal dunia pada awal pagi ini.
Menurutnya, Allahyarham turut terlibat dalam merancang agenda pembangunan negara khususnya pada era selepas kemerdekaan yang menjadi teras pentadbiran Tun Abdul Razak dalam memacu Dasar Ekonomi Baru (DEB).
“Keazaman, kebijaksanaan dan kerja keras Allahyarham tanpa mengenal erti penat lelah untuk negara serta seluruh Keluarga Malaysia wajar diteladani.
“Saya dan Keluarga Malaysia mengucapkan takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama-sama roh orang yang beriman dan beramal soleh. Alfatihah,” katanya.
Allahyarham meninggal dunia pada pukul 2.06 pagi tadi setelah dilapor dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak Selasa lepas kerana masalah kesihatan.
Arshad, 93, merupakan pengarah pertama Institut Teknologi MARA (ITM) sejak tahun 1967 sehingga 1975 yang kini dikenali sebagai UiTM.
-EDISI9