28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Kes HFMD menurun tapi kekalkan langkah pencegahan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KES penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) bagi minggu epidemiologi (ME) ke-23 bagi tahun 2022 dilaporkan sebanyak 13,080 menunjukkan penurunan sebanyak 22.9 peratus berbanding ME ke-22, 2022 iaitu 16,954 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, trend kes mingguan HFMD menunjukkan penurunan sejak ME ke-22 selepas bilangan kes mencapai kemuncak tertinggi pada ME ke-21, tahun ini.

“Bagi tahun 2022, sehingga hari terakhir minggu epidemiologi ME ke-23 pada 11 Jun, sejumlah 95,924 kes telah dilaporkan, iaitu peningkatan sebanyak 36 kali ganda bagi tempoh yang sama pada tahun 2021 (semasa pandemik COVID-19) iaitu 2,654 kes.

“Jika dibandingkan dengan kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2019 (sebelum pandemik COVID-19) iaitu sebanyak 30,880 kes, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 3.1 kali ganda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham menyatakan sehingga 11 Jun, Selangor menyumbang jumlah kes tertinggi berbanding negeri-negeri lain iaitu 26,799 kes (27.9 peratus).

Jelasnya, ini diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya 10,739 kes (11.2 peratus), Perak 9,744 kes (10.2 peratus), Johor 6,326 kes (6.6 peratus) dan Kelantan 6,153 kes (6.4 peratus); sementara negeri-negeri lain pelaporan kes HFMD sekitar atau kurang daripada 5,500 kes.

“Kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah iaitu sebanyak 86,230 kes (90 peratus), diikuti kumpulan umur 7 hingga 12 tahun seramai 7,878 kes (8 peratus). Manakala selebihnya berumur lebih 12 tahun iaitu seramai 1,816 kes (2 peratus).

“Terdapat tiga kes HFMD yang dimasukkan ke Wad Rawatan Rapi (ICU) iaitu kes pertama dan kes kedua dimasukkan ke ICU kerana mengalami komplikasi radang otak dan masih di bawah pemantauan rapi di ICU manakala kes ketiga telah pun sihat dan dibenarkan pulang ke rumah,” ujarnya.

Tambah Dr Noor Hisham, sehingga kini, sebanyak 1,882 wabak dilaporkan di Malaysia di mana tiga negeri mencatatkan kejadian wabak tertinggi iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya 602 wabak (32.0 peratus), diikuti Sarawak 265 wabak (14.1 peratus) dan Selangor 233 wabak (12.4 peratus).

“Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di taska, tabika, tadika dan prasekolah iaitu 1,102 wabak (59 peratus) diikuti oleh rumah persendirian 696 wabak (37 peratus) dan pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 55 wabak (3 peratus).

“Walaupun terdapat trend penurunan kes HFMD selama dua minggu berturut-turut, orang awam perlu mengamalkan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan diri dan ahli keluarga daripada dijangkiti HFMD,” katanya lagi.-Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan