24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Lebih sejuta pelancong tiba di Malaysia sejak 1 April

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

LEBIH sejuta pelancong tiba di negara ini, iaitu melebihi separuh daripada sasaran dua juta pelancong antarabangsa yang ditetapkan kerajaan pada tahun inisejak pembukaan semula sempadan pada 1 April lepas.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sebahagian besar daripada jumlah itu adalah dari Singapura dan dijangkakan lebih ramai lagi pelancong terutamanya dari Jepun, Iran dan Korea akan datang ke Malaysia.

“Pada dua bulan lepas kita telah menerima kira-kira 600,000 pelancong dari Singapura dan saya rasa kini telah melebihi satu juta, untuk negara itu sahaja.

“Bagi pelancong negara lain, kita belum dapat memberi jumlah yang tepat kerana masih menunggu maklum balas pihak yang berkenaan, tetapi memadai untuk dikatakan kita telah mencapai lebih separuh daripada apa yang disasarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Livery Pesawat Firefly Airlines dan Kempen #Gojalanlah di Subang, Selangor hari ini.

Menurut Nancy, prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang ‘mesra pelancong’ juga diyakini mampu menjadi daya tarikan bagi kedatangan lebih ramai pengunjung luar negara ke Malaysia.

Advertisements

“Orang seronok dengan SOP kita yang tidak mewajibkan kuarantin, ujian pengesanan COVID-19 dan insurans, sebaliknya terpulang kepada pelancong untuk berbuat demikian,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, industri pelancongan negara masih berhadapan dengan masalah kekurangan pekerja impak daripada wabak COVID-19, termasuk terdapat pekerja hotel takut untuk kembali bekerja kerana ketidaktentuan industri itu yang mungkin ditutup semula.

Dalam pada itu, Nancy berkata, pihaknya masih belum menerima pengesahan mana-mana hotel yang terpaksa ditutup kesan daripada COVID-19, namun beliau dimaklumkan sesetengah hotel ditutup sementara untuk kerja pengubahsuaian dan ada yang diguna semula untuk tujuan lain.

Mengenai #Gojalanlah, beliau berkata, kempen itu adalah kerjasama pintar Firefly bersama Tourism Malaysia, bagi menyokong usaha kerajaan menyemarakkan lagi promosi pelancongan domestik.

Kempen tersebut menawarkan pembelian tiket penerbangan berserta hotel penginapan pada harga diskaun sehingga 35 peratus, dengan tempahan boleh dibuat di www.fireflyz.com.my hingga 30 Jun ini bagi tempoh perjalanan sehingga 31 Disember. – Bernama

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan