36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

PM mahu usaha lebih giat majukan industri buku tempatan

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu Kementerian Pendidikan melalui Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan agensi berkaitan melaksanakan usaha lebih gigih bagi memajukan lagi industri penerbitan buku tempatan serta menggalakkan lagi aktiviti berkaitan.

Pada masa yang sama Perdana Menteri juga menyeru seluruh Keluarga Malaysia agar menerapkan budaya membaca bagi melahirkan masyarakat bertamadun, berilmu pengetahuan dan berkeperibadian unggul.

“Kegagalan kita mengekalkan budaya membaca bukan hanya menjejaskan dan menghancurkan usaha kerajaan membina sebuah negara bangsa yang berjaya tetapi juga ‘membunuh’ bukan hanya industri buku tetapi juga karyawan-karyawannya,” katanya semasa melancarkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam ini.

Hadir sama Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Ismail Sabri berkata, bagi menghasilkan buku yang berkualiti dan seterusnya memperkasakan industri ini, pihak pengarang, penerbit dan semua pemegang taruh dalam industri buku secara amnya perlu memainkan peranan masing-masing.

Kata beliau, usaha tersebut juga dapat menyokong pertumbuhan dan memupuk kelangsungan pembinaan negara bangsa melalui budaya membaca.

Perdana Menteri turut gembira apabila PBAKL yang pertama kali diadakan secara hibrid iaitu secara fizikal dan atas taslian, mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai oleh 167 pempamer dari dalam dan luar negara.

Malah, katanya, ia juga dimeriahkan dengan pembukaan sebanyak 709 reruai oleh pemain industri buku dan rakan strategik PBAKL, sekali gus menjadi ‘syurga’ bagi pencinta buku.

Paling memberangsangkan, tambah beliau, PBAKL kali ini turut menyasarkan kehadiran seramai 700,000 hingga sejuta pengunjung secara bersemuka di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

“PBAKL merupakan pesta buku terbesar negara yang mampu menjadi pemangkin kepada perkembangan industri buku dan memupuk budaya membaca serta mewujudkan masyarakat celik ilmu,” katanya.

Sehubungan itu, menurut Perdana Menteri, kerajaan akan terus menyokong PBAKL, pesta-pesta buku, serta sebarang aktiviti penerbitan buku sebagai perusahaan pendidikan dan budaya bagi memperkukuh budaya membaca Keluarga Malaysia. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan