25.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

PM mahu silat diperluas ke sektor awam, IPT

Bagi membentuk remaja lebih berperibadi dan mempunyai nilai-nilai murni

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu pertubuhan silat dapat memperluaskan budaya seni mempertahankan diri itu kepada kakitangan awam dan swasta serta institusi pengajian tinggi (IPT) bagi membentuk remaja lebih berperibadi dan mempunyai nilai-nilai murni.

Menurut Perdana Menteri, ini kerana silat memainkan peranan besar membantu kerajaan menghindarkan golongan belia daripada gejala tidak sihat dengan melatih mereka ke arah keperibadian yang baik, mulia, berikeyakinan diri, berdisplin dan patuh kepada pemimpin.

Beliau berkata, silat juga menjadi jambatan budaya Melayu dengan dunia luar melalui ratusan ribu ahlinya di benua Eropah, Asia Tengah, Asia Timur dan Afrika.

“Oleh itu, silat perlu dipertahankan supaya satu daripada budaya persilatan yang telah bertapak sekian lama ini akan dapat dikekalkan dan diterima oleh semua lapisan masyarakat.

“Pesilat, sebagai benteng ketiga pertahanan negara boleh membantu Kerajaan untuk mengekalkan keamanan dan kesejahteraan negara yang sedang Keluarga Malaysia kecapi pada masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikia dalam Majlis Perhimpunan dan Penyampaian Ijazah Peringkat Kebangsaan Ke-36 Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin (KLMO), Kuala Lumpur hari ini.

Pada program berkenaan, ribuan guru silat yang gah di bawah Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia yang dipimpin Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin, selaku Mahaguru Muda diraikan.

Ismail Sabri berkata, program silat berkenaan perlu diteruskan kerana simbolik kepada penyatuan ummah dan perpaduan masyarakat.

“Bak kata perpatah Melayu, Bersatu Teguh Bercerai Roboh, maka ia bakal mencipta satu sejarah gemilang masyarakat silat dan seni mempertahankan diri dalam menempuh cabaran dari dalam dan luar,” kata Perdana Menteri.

Advertisements

Ismail Sabri berkata, kejayaan dan pengiktirafan yang diperoleh akan membuka laluan kepada kejayaan yang lebih besar kepada Seni Silat Lincah Malaysia pada masa akan datang.

“Oleh itu, ahlinya harus berada dalam keadaan bersedia bagi mengurus segala perjalanan persilatan di Malaysia.

“Kerajaan sentiasa menyokong usaha yang dijalankan oleh pelbagai pihak termasuk aktiviti silat yang merupakan entiti yang menjana modan insan dan intelektual serta bertindak sebagai agen perancang strategik masyarakat, di samping menjadi agen pelaksana kepada program-program berimpak positif.

Menurutnya, ilmu silat harus diinstitusikan sebagai wadah dan wacana perkembangan ilmu melalui strategi berlandaskan agenda pendidikan, warisan budaya dan kesukanan.

“Peranan yang dimainkan oleh silat begitu besar dan meluas. Daripada sudut budaya dan sukan, silat berupaya memperkenalkan identiti Malaysia ke serata dunia.

Kata Perdana Menteri, kerajaan pula sudah memberinya pengiktirafan sebagai satu warisan kebangsaan pada tahun 2005.

“Pengiktirafan ini merupakan langkah awal Kerajaan dalam memastikan budaya ini tidak pupus, sebaliknya terus dipraktik dan diwarisi.

“Diharapkan melalui Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia akan melahirkan insan-insan yang akan diiktiraf oleh Kerajaan di dalam dunia persilatan,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan