31.1 C
Kuala Lumpur
Monday, October 3, 2022

Nahas Terowong Menora: Pemandu treler ditahan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

POLIS telah menahan pemandu treler yang terbabit kemalangan mengorbankan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Kilometer 245.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Ipoh, tengah malam tadi.

Suspek berusia 28 tahun berasal dari Jitra, Kedah itu ditahan di lokasi kejadian, awal pagi ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya akan membuat permohonan reman ke atas suspek untuk siasatan lanjut.

“Permohonan reman ke atas lelaki itu akan dilakukan di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya, memetik laporan Kosmo! hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, kemalangan melibatkan kereta jenis Honda City dinaiki mangsa dengan dua treler membawa muatan mozek dan besi pagar.

Katanya, ketika kejadian, treler muatan mozek dipandu lelaki berusia 37 tahun itu sedang dipandu di lorong kanan dengan kereta mangsa mengekori di belakang disebabkan lorong kiri laluan dari Kilometer 246 hingga 244.4 ditutup kerana penyelenggaraan jalan.

Baca juga:   Orang lain cuai saya yang kena, kata Zahid

“Semasa melalui kawasan tersebut, treler dan kereta itu dipercayai memperlahankan kenderaan sebelum sebuah treler muatan pagar besi tidak sempat membrek lalu merempuh belakang kereta tersebut.

“Rempuhan itu menyebabkan kenderaan berat berkenaan menyeret kereta mangsa ke hadapan sehingga melanggar bahagian belakang treler lain,” katanya.

Menurut beliau, akibat kemalangan itu, kereta dipandu mangsa berusia 22 tahun terbakar sebelum merebak ke bahagian kepala treler muatan pagar besi.

Baca juga:   Sejarah wang pemisahan waris Kesultanan Sulu - Bahagian Akhir

“Pemandu kereta dan empat penumpang telah tersepit dan tidak sempat menyelamatkan diri. Kesemua mangsa yang rentung disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Dalam kejadian sekitar pukul 12.52 tengah malam itu, kesemua mangsa rentung setelah kereta jenis Honda City dinaiki mereka terbakar selepas terlibat kemalangan membabitkan treler membawa muatan mozek dan besi pagar.

Mangsa terlibat dikenali Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.

Dalam kejadian tersebut, pemandu treler berusia 28 dan 37 tahun tidak cedera.

Wartawan

Terkini

Nelayan jatuh sampan dijumpai maut di Pulau Jerejak

SEORANG nelayan yang dipercayai terjatuh dari sampan ketika menangkap ikan di perairan Jelutong, Pulau Pinang pada petang Sabtu lalu...

Lagi Artikel Berkaitan