26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Pemandu treler ragut nyawa empat beranak miliki 13 saman trafik

Ujian air kencing dilakukan terhadap suspek berusia 34 tahun itu dan mendapati dia tidak berada di bawah pengaruh dadah.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PEMANDU treler yang merempuh enam buah kereta di Kilometer 277.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dikesan mempunyai 13 saman kesalahan trafik.

Dalam kemalangan berkenaan, nyawa empat beranak terkorban.

Mangsa yang maut merupakan pesara polis, Koperal Rahim Ramli, 60, bersama isteri, Siti Petimah Omar, 59, serta dua anak mereka, Nor Nadirah, 28, dan Nor Hamizah, 27.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, kesemua kesalahan itu direkodkan sejak 2008 hingga 2021 yang mana tiga daripadanya membabitkan kemalangan jalan raya.

“Ujian air kencing dilakukan terhadap suspek berusia 34 tahun itu dan mendapati dia tidak berada di bawah pengaruh dadah.

“Suspek telah ditahan dan dibawa ke mahkamah hari ini bagi mendapat perintah reman untuk siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar Mior Faridalathrash lagi, siasatan mendapati, treler itu dalam perjalanan dari Taiping menghala Bukit Beruntung telah merempuh sebuah kereta jenis Proton Persona dinaiki empat beranak dari belakang.

“Rempuhan itu menyebabkan treler dan kereta berkenaan menggelongsor ke hadapan dan merempuh lima buah kenderaan lain.

“Pemandu Proton Persona dan isteri serta dua anak perempuan mereka yang mengalami kecederaan parah, maut di tempat kejadian manakala pemandu dan penumpang lima kereta lain tidak cedera,” katanya.

Media semalam melaporkan, empat beranak yang dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah ke Kuala Lumpur itu maut selepas kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah treler dari arah belakang.

Jenazah kesemua mangsa yang selesai menjalani bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) malam tadi, dibawa ke Permatang Pasir, Permatang Pauh di Pulau Pinang untuk urusan pengebumian. 

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan