PEMANDU treler mengaku tidak bersalah atas dakwaan menyebabkan kemalangan melibatkan 14 kenderaan sehingga mengorbankan dua nyawa di Kilometer (KM) 5.7 Jalan Persiaran Utara, Putrajaya, Rabu lalu.
Tertuduh, Muhammad Izzatul Shafik Mozahari, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Aima Nabila Muhammad Azhar.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki berusia 29 tahun itu memandu secara merbahaya kepada orang awam dan menyebabkan kematian.
Beliau dituduh di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih 10 tahun termasuk denda maksima RM50,000.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Amalina Abu Hanifa menawarkan ikat jamin RM10,000 namun jumlah berkenaan dikurangkan selepas tertuduh merayu jumlah berkenaan dikurangkan.
Majistret kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dan tarikh sebutan ditetapkan, 25 Oktober depan.
Sebelum ini, dalam kejadian yang berlaku pada 10.15 pagi Rabu lalu, treler yang dipandu tertuduh melanggar barisan kenderaan yang sedang berhenti di laluan terbabit menyebabkan dua penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian.
Dua mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Faris Haziq Abu Bakar, 25, yang merupakan pekerja Pos Malaysia dan Yuswar Mohd Uyus, 39, pekerja di Mahkamah Ampang. – Edisi 9