32.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Pengarah dan penerbit Mentega Terbang mengaku tidak bersalah

Mesti Baca

PENGARAH dan penerbit filem Mentega Terbang didakwa di Mahkamah Majistret berasingan hari ini kerana melukakan perasaan penganut agama lain.

Bagaimanapun, pengarah, Mohd Khairianwar Jailani, 32, dan penerbit, Tan Meng Kheng, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dikemukakan terhadap mereka masing-masing di hadapan Majistret, Noorelynna Hanim Abd Halim dan Aina Azahra Arifin.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa sengaja berniat melukakan perasaan agama orang lain dengan melafazkan perkataan dalam pendengaran dan meletakkan objek dalam penglihatan orang, dengan berperanan sebagai pengarah, penulis skrip dan penerbit Mentega Terbang.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Jalan Semarak Api 2, Kuala Lumpur, jam 12.34 tengah hari pada 26 Februari 2023, mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa kepada hukuman penjara hingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob, memohon kedua-dua tertuduh masing-masing dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

“Syarat tambahan perintah larang suara kerana tertuduh kerap membuat kenyataan kepada media.

“Pihak pendakwaan mahu kes ini diadili di mahkamah bukannya oleh masyarakat, larangan supaya tidak memberi kenyataan dan komen hingga kes selesai.

“Syarat lain melaporkan diri ke balai polis berdekatan setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun, peguam bela dua lelaki itu, N Surendran, menyifatkan cadangan jaminan itu sebagai terlalu tinggi sebelum memohon anak guam masing-masing diikat jamin RM1,000.

Advertisements

“Mohd Khairianwar sudah berkahwin dan ada seorang anak, selain bekerja secara ‘freelance’ (bebas) dan tiada pendapatan tetap.

“Meng Kheng pula seorang guru dan terbabit dalam bidang penerbitan filem. Kedua-dua anak guam berpendapatan kira-kira RM3,000 sebulan.

“Saya juga membantah ketiga-ketiga syarat tambahan berkenaan termasuk ‘gag order’ (perintah larangan) yang tiada asas dan jika ada kenyataan dikeluarkan bersifat subjudis, terpulang kepada pendakwaan untuk membuat sebarang permohonan pada masa sesuai,” katanya.

Noorelynna Hanim membenarkan Mohd Khairianwar diikat jamin RM6,000, selain perlu melaporkan diri ke balai polis dan dikenakan perintah larang suara, manakala Meng Kheng dibenar jaminan RM6,500 dan perintah berkenaan oleh Aina Azahra.

Tiada syarat pasport dikenakan terhadap mereka dan sebutan semula kes di hadapan kedua-dua majistret itu pada 14 Mac ini.

Bulan lalu, Mohd Khairianwar dan Meng Kheng memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi mencabar tindakan kerajaan mengharamkan filem berkenaan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan filem itu pada 1 September tahun lalu, yang mana kedua-dua lelaki terbabit mendakwa ia satu tindakan tidak rasional yang melanggar kebebasan bersuara dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ditayangkan menerusi platform penstriman, filem berdurasi 104 minit itu mengisahkan ‘konflik keagamaan’ yang dihadapi seorang remaja beragama Islam bernama Aisyah, yang mempelajari agama lain terutama dalam mencari jawapan kepada persoalan hidup selepas mati.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendapati filem itu secara jelas bertentangan dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan