24.8 C
Kuala Lumpur
Sunday, October 13, 2024

TV AlHjirah fokus hidupkan al-Quran dalam televisyen

Mesti Baca

MEMBUKA tirai tahun baharu 2024 dengan nafas baharu, TV AlHijrah (TVAH) menampilkan pengisian program-program terbaik sepanjang tahun.

Pelbagai program-progam menarik dan bermanfaat telah diatur untuk penonton setia stesen ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TVAH, Namanzee Harris berkata, TVAH melabuhkan tirai tahun 2023 dengan pelbagai kejayaan dan rekod terbaik yang berjaya dicapai.

“2023 menyaksikan TVAH kekal menjadi saluran Islamik nombor satu di Malaysia dengan peningkatan sebanyak 45 peratus berbanding pada tahun sebelumnya.

“TV AlHijrah berada di kedudukan top 5 daripada semua saluran semasa kempen #PalestinKembali diadakan lantas menjadikan prestasi TV AlHijrah pada masa ini adalah paling tinggi sejak penubuhan TV AlHijrah 13 tahun yang lalu.

“Selain itu, stesen ini melalui data AC Nielsen menjadi pilihan utama penonton sepanjang Ramadan, Syawal, Haji, Awal Muharam dan Maulidur Rasul tahun lalu.

“Sebagai rekod, program-program menarik lain yang telah mencatatkan capaian penonton tertinggi 2023  ialah rancangan Assalamualaikum  yang berjaya mencapai 12.5 juta screenview sepanjang tahun.

“Berita AlHijrah berjaya mencapai sebanyak 7.3 juta screenview. Quran@114 juga cemerlang dengan pencapaian screenview 7.3 juta setahun dan Pentas Marhaban dengan 3.2 juta screenview,” katanya.

Namanzee berkata, tahun 2024 TVAH bermula kompetitif apabila stesen ini berada di tangga lima teratas saluran TV di Malaysia pada awal Januari 2024.

Malah, bagi tahun 2024, stesen TVAH masih lagi mengekalkan konsep hiburan berilmu dengan meneroka format baharu rancangan Islamik tanpa mengenepikan pemerhatian khusus kepada tiga kunci utama penyiaran iaitu patuh syariah, kreatif dan popular.

Justeru, bermula 20 Januari akan datang program Akademi Qurra’ 2024 bakal ditayangkan pada setiap Sabtu, jam 9 malam.

“Selepas kejayaan mendapat 4.4 juta tontonan screenview secara keseluruhan di musim pertama siarannya, program ini akan kembali untuk musim terbaharu.

Advertisements

“Ujibakat hibrid yang berlangsung hampir sebulan sejak Disember lalu, menyaksikan 12 orang qari qariah berbakat, lingkungan usia 18 hingga 35 tahun dipilih sebagai role model yang berpotensi mentarbiah serta melahirkan masyarakat penonton yang cintakan al-Quran dan seni persembahannya.

“Dua mudarrisah baru diperkenalkan iaitu Mudarrisah Suhailah Zulkifly serta Mudarrisah Nadia Hashim. Manakala, Mudarris Amar Mukhlis masih dikekalkan,” katanya pada sidang media pelancaran program terbaharu TVAH, di Bangi, semalam.

Pada majlis itu, TVAH turut memperkenalkan barisan rancangan terbaik lain tahun ini.  Antaranya ialah Riwayat Akhir Zaman,

Quran@114 dan Carta 114. Kesemua program ini membaja ilmu, iman serta ketakwaan kepada Sang Pencipta.

Tidak dilupakan, bagi penggemar rancangan 30 Minit Bersama, tahun ini TVAH membawakan pendakwah yang tidak asing lagi iaitu Ustaz Dato  Shamsuri Ahmad untuk memandu perbahasan Kitab Bahrul Mazi, yang juga huraian Syeikh Idris al-Marbawi terhadap hadis Rasulullah SAW yang dipilih daripada kitab Sunan al-Tirmidzi.

Program ini akan bersiaran pada setiap hari Selasa jam 8.30 malam.

Pada majlis sama, Namanzee turut mengumumkan mereka yang menggunakan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) boleh menikmati rancangan TVAH di dalam tren.

“Alhamdulilah, kini rancangan-rancangan terbaik TVAH boleh dinikmati oleh penumpang yang menggunakan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) untuk perjalanan utara ke selatan tanah air dan sebaliknya.

“Bukan itu sahaja, bagi memastikan penumpang perkhidmatan ETS menikmati pengalaman dunia penyiaran di dalam perjalanan mereka, ETS Istimewa ini kita datangkan dengan look & feel program-program kita dari segi hiasan dalaman mahupun luaran.

“Ambillah masa, berkelanalah bersama yang tersayang menaiki ETS TVAH. Semakin banyak tempat dijejak, semakin banyak yang dipelajari serta semakin banyak pengalaman dilalui,” katanya.

Untuk info, aplikasi AlHijrah Plus yang memiliki lebih 8 ribu kandungan tersedia dan secara langsung juga telah dimuat turun oleh 100 ribu pemuat turun dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei.

Kesemua negara ini  juga adalah antara negara yang tertinggi menonton AlHijrah Plus Live TV. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

1,091 projek naik taraf sekolah daif telah diluluskan – KPM

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) telah meluluskan sebanyak 1,091 projek naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di seluruh negara...

Lagi Artikel Berkaitan