Saturday, July 18, 2026

Khutbah Jumaat: Elak salah faham al-Quran, rujuk ilmuwan tafsir

Membaca terjemahan sahaja tidak bermakna kita sudah menjadi seorang yang alim dan memahami keseluruhan maksud al-Quran.

Mesti Baca

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya.

Semoga kita semua diberikan kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan di akhirat. Para jemaah diingatkan supaya jangan berbual-bual dan bermain dengan telefon bimbit ketika khutbah disampaikan.

Pada hari yang mulia ini mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk “Elak Salah Faham Al-Quran, Rujuklah Ilmuwan Tafsir”.

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,

Al-Quran adalah petunjuk bagi seluruh umat manusia. Berkat usaha para ulama, kita kini dapat membaca pelbagai terjemahannya dalam pelbagai bahasa. 

Namun, al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, namun ia perlu dipelajari dan difahami dengan baik. 

Malahan, membaca terjemahan sahaja tidak bermakna kita sudah menjadi seorang yang alim dan memahami keseluruhan maksud al-Quran.

Hal ini kerana, jika kita berpada dengan terjemahan sahaja tanpa melihat konteks ayat-ayat yang kita baca, kita akan hanya dapat memahami ayat itu secara zahir semata-mata.

Oleh itu, kefahaman yang mendalam terhadap al-Quran memerlukan ilmu tafsir dengan cara merujuk dan mempelajarinya daripada para ulama yang muktabar agar dapat difahami sebagaimana yang difahami oleh generasi yang awal.

Firman Allah SWT dalam surah al-Nahl ayat 43 yang telah dibacakan pada awal khutbah yang bermaksud:

“Dan kami tidak mengutus para Rasul sebelum kamu (wahai Muhammad), melainkan dalam kalangan orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu, bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.”

Hadis yang diriwayatkan daripada Abu al-Darda’ Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para Nabi. Tidaklah para Nabi itu mewariskan wang dinar mahupun dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu. Oleh itu, jika sesiapa yang menerima warisan ilmu tersebut, maka dia menerimanya sebagai suatu laba yang besar.” (Riwayat Abu Daud).

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Menelusuri keutamaan para ulama dan ilmu pengetahuan yang disebutkan, jelaslah bahawa betapa pentingnya mencari dan menuntut ilmu bagi umat Islam. Lebih-lebih lagi berkenaan al-Quran agar kita tidak dibayangi kejahilan.

Kehidupan kini yang semuanya segera, pantas dan laju menyebabkan umat Islam sudah tidak lagi menghargai khazanah ilmu yang ditinggalkan para ulama. 

Bahkan al-Quran hanya difahami menerusi perkongsian di media sosial tanpa sebarang pengesahan dan tanpa mempersoalkan keabsahan maklumat.

Oleh itu, Mimbar Jumaat hari ini mengajak hadirin untuk kembali mempelajari al-Quran daripada para ulama dan ilmuwan tafsir dengan menghadiri kelas pengajian secara talaqqi iaitu berguru secara langsung bertemu mata ke mata. Pelajarilah dengan baik mengikut kaedah dan pengajian yang tersusun.

Alangkah baiknya jika umat Islam hari ini kembali merujuk kepada ilmuwan tafsir untuk memahami tafsiran ayat-ayat al-Quran, agar tidak terjerumus ke dalam kesalahfahaman yang boleh menyelewengkan makna dan tujuan sebenar kalam Allah SWT.

Rasulullah SAW sendiri mengingatkan kita, bahkan memberikan jaminan ketenangan kepada mereka yang mempelajari ilmu al-Quran demi memperoleh manfaat daripada Kitabullah. 

Bukan sekadar membacanya, tetapi memahami, menghayati, dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Dan tidaklah satu kaum itu berkumpul di rumah-rumah Allah (masjid) sambil membaca al-Quran dan mempelajarinya sesama mereka melainkan turunnya ketenangan kepada mereka, diliputi oleh rahmat Allah serta malaikat mengerumuninya dan Allah menjadikan makhluk-makhluk yang berada di sisi-Nya menyebut-nyebut mereka. Dan sesiapa yang buruk amalnya, maka nasabnya tidak dapat mengangkat darjatnya itu”. (Riwayat Muslim).

Sidang Muslimin yang dimuliakan,

Sejak zaman awal Islam, al-Quran dihafal, difahami dan diamalkan menerusi penyampaian Rasulullah SAW. 

Dalam kalangan para sahabat, ada yang diiktiraf sebagai guru utama untuk mengajar para sahabat yang lain. Hal ini kerana bilangan penganut Islam semakin berkembang. 

Wujud keperluan guru atau alim yang mengajarkan kepada mereka yang baru menganut Islam, malah mereka diutus ke tempat-tempat tertentu.

Di negara kita juga, para ulama khususnya ilmuwan tafsir tempatan tidak terkecuali dalam usaha menyebarkan ilmu al-Quran. 

Pengajian al-Quran dan tafsir di Malaysia sudah bermula sejak lama dahulu, sama ada secara formal dan tidak formal. 

Pengajian bermula di rumah-rumah tok guru, surau, madrasah, masjid dan sebagainya. Pengajian yang berbentuk talaqqi juga terus segar dikekalkan sehingga ke hari ini dan perlu diperluaskan. 

Mimbar Jumaat menggesa agar hadirin yang ada pada hari ini meneruskan usaha mengembangkan dan melestarikan ilmu-ilmu Islam dengan ikut serta dalam majlis pengajian secara talaqqi.

Antara kitab terkenal yang menjadi rujukan para ilmuwan dan penuntut ilmu adalah Tafsir al-Jalalain karya Imam Jalaluddin al-Mahalli dan Imam Jalaluddin al-Suyuti. 

Kitab tafsir yang ringkas, padat dan mudah difahami ini menjadi rujukan para ulama sama ada di pusat pengajian tradisi mahupun moden.

Malah, pengaruh Tafsir al-Jalalain sangat kuat sehinggakan Syeikh Faisal Othman dan Syeikh Abdullah Basmeih banyak merujuk Tafsir al-Jalalain dalam penterjemahan al-Quran yang awal di negara kita, iaitu Tafsir Pimpinan al-Rahman.

Selain Tafsir al-Jalalain, Tafsir Ibnu Katsir turut menjadi rujukan kedua-dua perintis penterjemahan al-Quran di negara kita. 

Semoga Allah SWT memberkati para ulama terdahulu dalam usaha menjelaskan makna-makna al-Quran menerusi rantaian keilmuan sehingga sampai kepada Rasulullah SAW.

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT sekalian,

Berdasarkan sorotan sejarah keilmuan al-Quran yang ditelusuri mimbar Jumaat hari ini. Mari kita renungkan keadaan dan sikap kita ketika berinteraksi dengan al-Quran. 

Apakah kita bersungguh-sungguh memahami al-Quran dengan cuba mempelajari ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya?

Adakah kita pernah mencuba untuk meluangkan masa mentadabbur dan mencari makna kata-kata yang tidak kita fahami ketika membacanya? 

Atau adakah kita sekadar membaca tanpa memahaminya sekaligus menyebabkan kita tidak mendapat manfaat dan ganjaran pahala berlipat ganda? Kesemua persoalan ini perlu direnungkan.

Sudah tentu, jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan mimbar hari ini memerlukan kesungguhan dan pengorbanan. 

Namun, di zaman yang serba mencabar dan serba pantas ini menuntut kita bermuhasabah setakat mana masa yang kita peruntukkan demi mendalami Kalamullah, kalam Sang Pencipta yang telah memberikan kita petunjuk yang tiada keraguan padanya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 2 yang bermaksud:

“Kitab (al-Quran) ini tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang bertakwa.”

Hadirin yang dikasihi Allah SWT,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa pengajaran untuk dijadikan pedoman dalam kehidupan seharian kita:

1. Umat Islam hendaklah yakin bahawa memahami dan menghayati ilmu al-Quran dengan bersungguh akan membuat seseorang itu sentiasa berada dalam kebaikan dan dapat menghindarkannya daripada kejahilan.

2. Umat Islam hendaklah mengaji dan mendalami ilmu al-Quran bukan sekadar membaca, tetapi melibatkan pemahaman, penghayatan, dan pengamalan. Ia adalah jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menjadi insan yang berakhlak mulia.

3. Umat Islam hendaklah yakin bahawa sesiapa yang membaca dan berusaha mempelajari al-Quran dengan penuh keikhlasan akan mendapat syafaat daripadanya serta menjadi hujah yang membela dirinya di hadapan Allah SWT pada hari akhirat kelak.

Sesungguhnya orang yang selalu membaca kitab Allah dan mendirikan solat serta membelanjakan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka secara sembunyi atau terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan perdagangan yang tidak akan mengalami kerugian.” (Surah Faatir: 29).


Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor, 24 Oktober 2025.

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan