28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Lolos di Jelebu ditemui di Kuala Selangor bersama dadah

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEPANDAI-PANDAI tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

Itulah yang mampu disimpulkan oleh seorang banduan yang meloloskan diri dari Penjara Jelebu, Negeri Sembilan sejak 10 April lalu berakhir selepas ditangkap polis di Bukit Rotan, Kuala Selangor, Khamis lalu.

Banduan dikenali Muhammad Syafiq Rohmat, 32, itu ditahan di sebuah bengkel kereta dan motosikal kira-kira pukul 5.30 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, penahanan lelaki itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) selepas menerima maklumat awam.

“Serbuan itu turut menahan dua lagi lelaki berusia 23 tahun dan sejumlah dadah di bengkel tersebut.

“Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati seorang daripada tiga individu itu merupakan banduan yang melarikan diri dari Penjara Jelebu bulan lalu.

“Kita turut merampas lapan paket plastik lutsinar disyaki berisi heroin dan dua paket syabu yang semuanya dianggarkan bernilai RM17,400,” katanya malam tadi.

Media sebelum ini melaporkan tujuh banduan yang menjalani tahanan reman di Penjara Jelebu melarikan diri pada 10 April lalu.

Namun, enam daripada tujuh banduan itu berjaya ditahan di lokasi dan tarikh berbeza di sekitar Negeri Sembilan.

Ujar Ramli lagi, semakan mendapati banduan itu terlibat dengan penagihan dadah sejak 13 tahun lalu.

“Lelaki itu turut memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 selain mempunyai rekod dikehendaki iaitu mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tambah beliau, banduan itu sudah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu untuk tindakan lanjut.

-EDISI9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan