31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Agong zahir wartawan sebagai wira tak didendang

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Wartawan Nasional (Hawana) kepada seluruh wartawan dan pengamal media serta kepada mereka yang telah bersara.

Istana Negara dalam satu hantaran di Facebook menyatakan, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada wartawan dan pengamal media atas pengorbanan masa, tenaga, buah fikiran dan keselamatan diri tanpa mengira cuaca dan situasi dalam menjalankan tugas mendapatkan maklumat.

“Menyifatkan sebagai wira yang tidak didendang, Seri Paduka Baginda bertitah peranan wartawan dan pengamal media juga amat penting dalam pembangunan negara dan memupuk perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama.

“Seri Paduka Baginda mendoakan semoga wartawan dan pengamal media sentiasa dilimpahi kejayaan berterusan dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dalam menjalankan tugas,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda menghargai komitmen dan dedikasi yang diberikan oleh wartawan dan pengamal media dalam menjalankan tugas menyampaikan maklumat dan melaporkan berita yang tepat dan terkini sama ada menerusi televisyen, surat khabar, radio mahupun portal-portal dalam talian.

“Dengan ledakan maklumat di Internet dan media sosial, Seri Paduka Baginda menasihati wartawan dan pengamal media sentiasa mematuhi undang-undang dan menjaga etika kewartawanan serta memastikan integriti dan akauntabiliti dalam setiap pelaporan berita yang disiarkan.

“Meskipun Kerajaan menghormati prinsip kebebasan media, namun semua pihak, khususnya wartawan dan pengamal media, mestilah mempunyai kebertanggungjawaban dalam pemberitaan dan laporan yang disiarkan,” kongsi hantaran berkenaan.

Untuk rekod, sambutan Hawana adalah satu pengiktirafan dan penghargaan kerajaan atas sumbangan pengamal media dalam membantu membangunkan negara dan mengukuhkan perpaduan masyarakat.

Sambutan Hawana 2022 bertemakan ‘Suara Jelata, Aspirasi Negara’ anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dengan kerjasama Kerajaan Melaka dan dilaksanakan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dilaksanakan di Melaka.

-EDISI9

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan