Wednesday, July 22, 2026

AEON, FRIM pulihkan habitat kelip-kelip Kuala Selangor

Sebanyak 50 anak pokok Rumbia dan 50 anak pokok Berembang ditanam di sepanjang tebing sungai — dua spesies penting yang menjadi habitat semula jadi bagi kelip-kelip.

Mesti Baca

AEON CO. (M) BHD. (AEON) meneruskan komitmennya terhadap pemuliharaan alam sekitar melalui program penanaman pokok bersama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bagi memulihkan habitat kelip-kelip di Kuala Selangor.

Program bertemakan Terang di Hujung Dahan itu memberi tumpuan kepada pemulihan jangka panjang habitat kelip-kelip yang menjadi antara tarikan alam semula jadi utama di kawasan tersebut.

Sebanyak 50 anak pokok Rumbia (Metroxylon sagu) dan 50 anak pokok Berembang (Sonneratia caseolaris) ditanam di sepanjang tebing sungai — dua spesies penting yang menjadi habitat semula jadi bagi kelip-kelip.

Inisiatif berkenaan disertai sukarelawan daripada pelbagai agensi termasuk Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), komuniti tempatan serta kakitangan AEON.

Antara yang hadir ialah Pengarah LUAS, Dr. Ir. Ts. Mohmad Asari Daud; Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Ismail Parlan; Ketua Pegawai Sumber Manusia AEON, Dr. Kasuma Satria Mat Jadi; Ketua Seksyen Perladangan MPOB, Mohd. Azmi Sunda dan wakil Yang Dipertua MPKS, Muhammad Asyraf Kamarrazaman.

Para sukarelawan selepas selesai menanam pokok di Kuala Selangor.

Menurut Kasuma Satria, program itu mencerminkan komitmen berterusan AEON dalam melindungi biodiversiti dan mengekalkan keseimbangan alam semula jadi.

“Kami berharap usaha ini akan terus membawa sinar kepada Kuala Selangor — bukan sahaja melalui cahaya kelip-kelip yang menerangi malam, tetapi juga melalui semangat tanggungjawab bersama dalam memelihara alam demi kesejahteraan komuniti dan generasi masa hadapan,” katanya.

Kerjasama antara AEON dan FRIM bagi pemuliharaan habitat kelip-kelip di Kuala Selangor mula dilaksanakan sejak 2011 di Tanjung Beluntas, melibatkan aktiviti pembersihan kawasan, penyelidikan, penanaman pokok dan penyelenggaraan.

Kasuma Satria (empat kiri) bersama sukarelawan AEON selesai menanam pokok.

Pada tahun 2018, AEON dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor turut melaksanakan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui penanaman pokok bagi habitat kelip-kelip di kawasan sama.

Sehingga kini, lebih 1,000 pokok telah ditanam, dengan peningkatan positif populasi kelip-kelip direkodkan.

Sementara itu, Datuk Dr. Ismail Parlan berkata FRIM komited meneruskan penyelidikan serta berkongsi hasil dapatan bagi memastikan impak jangka panjang terhadap ekosistem setempat.

“Kami amat menghargai penglibatan AEON sebagai rakan korporat yang menunjukkan contoh teladan tanggungjawab sosial berimpak tinggi,” katanya.

Selain projek pemuliharaan habitat kelip-kelip, AEON turut aktif melaksanakan pelbagai inisiatif penghijauan seperti Projek Malaysia–Japan Friendship Forest yang bermula di Paya Indah Wetlands pada 2004 dengan kerjasama Jabatan PERHILITAN.

Program itu kini diteruskan bersama FRIM melalui penanaman 30,000 pokok di Bidor, serta akan diperluaskan ke Segamat dengan penanaman 30,000 pokok lagi di kawasan seluas 36 hektar dalam tiga fasa menjelang hujung tahun ini.

Sejak 1991, AEON telah menanam lebih 557,000 pokok di seluruh negara menerusi pelbagai inisiatif pemuliharaan dan penghijauan alam sekitar. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan