AEON CO. (M) BHD melancarkan projek penghijauan baharu selama tiga tahun di Segamat, Johor sebagai kesinambungan kepada Malaysia-Japan Friendship Forest Programme yang telah berjaya dilaksanakan di Bidor, Perak dari 2014 hingga 2023.
Inisiatif itu merupakan kerjasama strategik dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan akan melibatkan penanaman sebanyak 30,000 pokok spesies hutan hujan tropika di kawasan seluas 36 hektar dalam tiga fasa sehingga tahun 2027.
Majlis pelancaran rasmi projek berkenaan berlangsung di Ibu Pejabat FRIM di Kepong pada Jumaat lepas, disertai dengan pertukaran Surat Hasrat (Letter of Intent) antara Pengarah Urusan AEON, Naoya Okada dan Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Ismail Parlan.
Turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) FRIM, Dr. Norwati Muhammad dan Timbalan Pengarah Urusan AEON, Tsugutoshi Seko.
Satu sesi simbolik penanaman pokok turut diadakan di Padang 44, FRIM Kepong dengan penyertaan beberapa spesies pokok termasuk meranti temak nipis (Anthoshorea roxburghii), meranti tembaga (Rubroshorea leprosula) dan sesenduk (Endospermum diadenum).

Okada dalam ucapannya berkata, AEON berbangga untuk meneruskan komitmen terhadap kelestarian alam sekitar menerusi projek di Segamat yang menyambung kejayaan di Bidor.
“Projek di Bidor membuktikan hasil positif apabila sektor korporat bekerjasama dengan institusi penyelidikan dalam memulihara alam sekitar.
“Sejak 1991, AEON telah menanam lebih 557,000 pokok di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Projek di Bidor melibatkan penanaman 30,000 pokok di kawasan seluas 22.75 hektar yang dahulunya merupakan kawasan bekas lombong bijih timah.
Tapak tersebut, katanya, kini menjadi ekosistem subur dan akan dikekalkan sebagai kawasan penyelidikan, pendidikan dan pengeluaran benih oleh FRIM.
Sementara itu, Ismail berkata, FRIM menyambut baik kesinambungan kerjasama dengan AEON dalam usaha pemuliharaan dan perlindungan biodiversiti negara.
“Kawasan penanaman di Bidor kini turut menarik kehadiran spesies fauna seperti burung berhijrah, menunjukkan pemulihan yang positif terhadap ekosistem,” katanya.
Inisiatif ini juga menyokong pelaksanaan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang diterajui oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar.
Selain itu, ia juga mencerminkan komitmen AEON terhadap prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). — Edisi 9

