SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengorak langkah signifikan dalam pembangunan modal insan negara dengan melancarkan dua program biasiswa baharu bagi melahirkan barisan profesional masa depan dalam sektor komunikasi dan multimedia.
Dikenali sebagai Biasiswa MCMC LEGASI dan Biasiswa MCMC CARE, kedua-dua tawaran ini adalah langkah sulung bagi memperkukuh komitmen suruhanjaya dalam membina ekosistem digital negara yang mampan, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia dalam era Revolusi Industri Keempat (IR4.0).
“Biasiswa ini bukan sahaja menyokong pendidikan, malah menyediakan laluan kerjaya jangka panjang dalam bidang-bidang strategik seperti keselamatan siber, dasar pengawalseliaan dan teknologi IoT,” kata kenyataan MCMC hari ini.
MCMC berkata, LEGASI atau Leaders of the Next-Generation Scholarship memberi penekanan kepada kecemerlangan akademik dan kepimpinan.
Ia terbuka kepada pelajar cemerlang yang mengikuti pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang berkaitan komuniti dan multimedia di institusi dalam dan luar negara.
Katanya, manfaat utama termasuk pembiayaan penuh yuran pengajian, elaun sara hidup, latihan industri, pendedahan kepada dasar serta jaminan pekerjaan di MCMC selepas tamat pengajian.
“Peserta juga akan mengikuti latihan profesional serta pensijilan dalam bidang strategik,” katanya.
Sementara itu, CARE pula memberi fokus kepada pelajar berpotensi tinggi daripada komuniti berpendapatan rendah untuk melanjutkan pengajian di universiti awam tempatan.
Program tersebut membuktikan bahawa latar belakang bukan penghalang kepada kejayaan, asalkan ada kesungguhan dan komitmen.
“Pelajar bukan sahaja menerima pembiayaan penuh, malah turut ditawarkan latihan industri untuk memperkasa pengalaman praktikal mereka,” katanya.
Permohonan bagi kedua-dua biasiswa kini dibuka bermula 24 Jun hingga 24 Julai 2025.
Pelajar yang berminat boleh merujuk syarat kelayakan dan menghantar permohonan melalui laman sesawang rasmi di https://mcmc.gov.my/academy/en/scholarships-1
Penerima yang berjaya akan diumumkan pada Ogos 2025.
Langkah ini dijangka memberi impak positif kepada pembangunan bakat negara dalam sektor strategik, dan mencerminkan pendekatan inklusif MCMC dalam memacu kemajuan digital untuk semua. — Edisi 9

