AGENSI Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) komited menangani isu keselamatan sempadan dan akan menjalankan siasatan berhubung pendedahan mengenai sindiket phantom travel yang didakwa beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.
AKPS berkata, pihaknya memandang serius dakwaan terdapat pegawai agensi yang bersekongkol dengan sindiket untuk tidak merekod pergerakan pelawat yang masuk ke negara ini.
“Taktik tersebut dipercayai dilakukan dengan bayaran tertentu untuk mengelak pelawat dikesan oleh majikan mereka.
“AKPS sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara ini dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai yang melanggar integriti serta mencemarkan imej jabatan,” jelas AKPS dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, sebuah portal media tempatan melaporkan sindiket phantom travel di KLIA itu didakwa membabitkan kakitangan kerajaan yang ingin ke luar negara tanpa dikesan pegawai atasan mereka.
Menurut laporan portal berkenaan, pengembara terbabit melalui kaunter khas imigresen yang dikawal pegawai bersekongkol, sekali gus membolehkan butiran perjalanan mereka direkod secara tidak sah atau langsung tidak direkod dalam sistem imigresen.
AKPK menegaskan, pihaknya bekerjasama secara berterusan bersama Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia dalam memperkukuh kawalan di semua pintu masuk negara, khususnya KLIA.
Katanya, antara langkah yang diambil termasuk penggunaan sistem autogate sepenuhnya bagi pelepasan keluar, pembangunan sistem NIISe serta penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membanteras taktik counter setting, flying passport dan phantom travel.
“Mana-mana pegawai yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan undang-undang tegas termasuk pemecatan,” menurut kenyataan itu lagi.
Dalam masa sama, AKPS turut mengalu-alukan sebarang aduan daripada orang awam berhubung salah laku integriti pegawai melalui e-mel [email protected] atau terus ke pejabat AKPS di Putrajaya. — Edisi 9

