SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melaksanakan Siasatan Awam berhubung cadangan penentuan Standard Mandatori bagi pendaftaran pengguna perkhidmatan selular awam prabayar.
Menurut MCMC, langkah itu dilaksanakan bagi memastikan ketelusan, keterangkuman dan akauntabiliti dalam proses pembangunan standard mandatori, selaras dengan peruntukan Seksyen 55 dan 61 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
“Melalui pelaksanaan Kertas Siasatan Awam ini, semua pihak berkepentingan diberi peluang mengemukakan pandangan serta maklum balas terhadap piawaian yang dicadangkan, sekali gus membantu MCMC menilai kesesuaian, keberkesanan dan impaknya sebelum standard tersebut dimuktamadkan,” jelas kenyataan itu hari ini.
Standard Mandatori baharu yang dicadangkan itu akan menggantikan Garis Panduan Pendaftaran Pengguna Prabayar 2017 dengan memperkukuh integriti proses pendaftaran menerusi mekanisme keselamatan berasaskan Multi-Factor Authentication (MFA).
Selain penyedia perkhidmatan, MCMC turut akan diberi kuasa untuk mengambil tindakan terhadap pengedar yang terlibat dalam proses pendaftaran pengguna akhir prabayar bagi memastikan akauntabiliti di seluruh rantaian pendaftaran, termasuk di bawah Seksyen 51 AKM 1998.
Peraturan baharu itu juga memperkenalkan perlindungan tambahan untuk pengguna bawah umur, di mana individu berusia antara 12 hingga 17 tahun diwajibkan mendaftar melalui ibu bapa atau penjaga sah.
“Cadangan standard ini turut menetapkan had baharu terhadap jumlah kad SIM yang boleh didaftarkan atas nama seorang individu, sama ada warganegara Malaysia atau warga asing, sebagai langkah membendung penyalahgunaan kad SIM yang berterusan,” kata MCMC.
MCMC turut mengalu-alukan penyertaan aktif semua pihak berkepentingan bagi memastikan standard yang dibangunkan adalah menyeluruh, praktikal dan sejajar dengan keperluan semasa industri telekomunikasi.
Orang ramai boleh mengemukakan pandangan dan maklum balas melalui pautan siasatan awam di laman rasmi MCMC di www.mcmc.gov.my mulai sekarang hingga 28 November 2025. — Edisi 9

