Monday, July 20, 2026

Malaysia–Kemboja perkukuh kerjasama serantau, ekonomi – Zahid

Perdagangan antara Malaysia dan Kemboja terus berkembang pesat, mencecah hampir USD750 juta dari Januari hingga Ogos tahun ini.

Mesti Baca

MALAYSIA dan Kemboja sepakat memperkukuh hubungan dua hala yang sekian lama terjalin kukuh, dengan memberi tumpuan kepada kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, tenaga kerja, pendidikan, ekonomi digital, pertanian dan pelancongan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu antara hasil utama lawatan rasminya ke Kemboja sempena 13th ASEAN Ministerial Meeting on Disaster Management dan 14th Conference of the Parties to AADMER yang berlangsung di Phnom Penh hari ini.

Menurut beliau, perbincangan bersama Presiden Senat, Hun Sen dan Perdana Menteri, Thipadei Hun Manet, berlangsung dengan amat bermakna serta berpandangan jauh, mencerminkan persahabatan erat dan saling percaya antara kedua-dua negara.

“Perdagangan antara Malaysia dan Kemboja terus berkembang pesat, mencecah hampir USD750 juta dari Januari hingga Ogos tahun ini, peningkatan sebanyak 45 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Kedua-dua pihak yakin nilai perdagangan dua hala akan melebihi USD1 bilion menjelang 2026, selain memperluas kerjasama dalam bidang digital, tenaga boleh diperbaharui dan industri agro-makanan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Kemboja atas sokongan terhadap pelabur Malaysia yang banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara itu, khususnya dalam sektor telekomunikasi, perbankan dan pembuatan.

Dalam pada itu, Malaysia dan Kemboja turut menegaskan komitmen bersama untuk memupuk keamanan dan kestabilan serantau, termasuk melalui penubuhan Pasukan Operasi ASEAN (ASEAN Operations Team – AOT) menjelang Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur.

“ASEAN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah memainkan peranan penting memudah cara pelaksanaan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand. Penubuhan AOT akan memastikan perjanjian tersebut dilaksanakan seperti dipersetujui,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia juga bersedia membantu Kemboja membangunkan ekosistem halal yang kukuh melalui perkongsian pengalaman dalam pensijilan, pembangunan Taman Industri Halal serta pengwujudan Majlis Halal ASEAN.

Dari segi tenaga kerja dan pendidikan pula, Malaysia komited memastikan kebajikan pekerja Kemboja terus terpelihara, di samping memperluas penyertaan tenaga pengajar dan pensyarah Kemboja dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET).

Ahmad Zahid berkata, kedua-dua negara turut bersetuju memperkukuh perdagangan pertanian, khususnya dalam minyak sawit dan beras, bagi mempertingkat keselamatan makanan serantau serta memperluas kerjasama dalam pelancongan perubatan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan Kemboja dan negara anggota lain untuk memperkukuh perpaduan serta kredibiliti ASEAN dalam mempromosikan keamanan dan kerjasama kemanusiaan,” katanya.

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan