31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan tahniah buat Khalifa Affnan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada Khalifa Affnan, guru Kolej Vokasional Keningau, Sabah, atas kejayaan beliau dinobatkan sebagai pemenang global bagi Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2022.

Istana Negara dalam satu hantaran di Facebook menyatakan, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan beliau yang sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Khalifa Affnan telah melakar sejarah negara setelah muncul guru Malaysia pertama terpilih merangkul anugerah berkenaan dan juga terdahulu di peringkat serantau, atas pencapaiannya dalam mencetuskan satu projek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

“Khalifa Affnan dinobatkan sebagai pemenang selepas menewaskan 7,000 peserta lain dari 113 negara.

“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar pencapaian cemerlang ini menjadi suntikan semangat kepada beliau dan juga rakyat untuk terus bekerja keras dan mencapai kejayaan di masa hadapan di bidang masing-masing,” kongsi hantaran berkenaan hari ini.

Menurut hantaran itu lagi, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Khalifa Affnan dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan.

“Syabas dan tahniah,” kongsi hantaran berkenaan.

Untuk rekod, melalui inisiatif itu, Khalifa Affnan melatih pelajar dalam bidang robotik, dron, pengekodan dan disiplin berasaskan teknologi, malah usaha beliau berjaya meningkatkan penyertaan aktif pelajar perempuan serta berkeperluan khas dalam aktiviti STEM.

Penganugerahan itu merupakan pertandingan global anjuran Cambridge University Press bagi mengiktiraf serta meraikan usaha pendidik di seluruh dunia.

Anugerah yang mula diperkenalkan pada 2018 itu membuka peluang untuk pelajar, guru dan orang awam mencalonkan pendidik yang memberi kesan dalam satu daripada empat kategori terbabit.

Kategori berkenaan membabitkan idea pengajaran yang inovatif; kerja amal; penjagaan pastoral yang hebat; dan memberi inspirasi kepada pelajar melangkaui sekolah.

Juri pakar kemudian menyenarai pendek enam pemenang peringkat rantau, manakala bagi memilih pemenang global pula, orang awam digalakkan untuk mengundi guru pilihan mereka.

Khalifa diumumkan sebagai pemenang apabila berjaya meraih 26 peratus daripada undi terbabit, sekali gus menerima set buku serta bahan sumber digital pilihan oleh Cambridge University Press, selain pakej pembangunan profesional. Beliau juga akan dipaparkan pada buku teks baharu Cambridge University Press Education mulai Februari 2023.

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan