31 C
Kuala Lumpur
Monday, December 5, 2022

SFC digesa tangani konflik buaya, manusia – Wan Junaidi

Mesti Baca

Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SARAWAK Forestry Corporation (SFC) digesa mengambil langkah proaktif dan holistik bagi menangani insiden serangan buaya yang semakin kerap berlaku ketika ini.

Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau bimbang jika konflik itu tidak ditangani dengan berkesan, ia akan menyebabkan lebih banyak pertembungan antara manusia dengan reptilia ganas itu berlaku.

Menurutnya,ramai masyarakat di Sarawak tinggal di penempatan berhampiran sungai serta kuala sungai yang menjadi nadi kehidupan mereka.

“Terbaharu dua kejadian membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun di Kampung Nyabut, Telaga Air, Kuching, Sabtu lalu serta seorang lelaki, Sebarang Bingkok, 56, di Sungai Ahong, Kampung Kangka, Lundu, Khamis lalu.

“Justeru langkah proaktif perlu dilaksanakan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata, keadaan kini agak membimbangkan apabila reptilia itu mula membiak dan dijumpai merata-rata di seluruh Sarawak seperti yang berlaku sebelum tahun 1960-an dahulu.

Oleh itu menurutnya, langkah segera harus diambil bagi menangani konflik buaya dan manusia selaras dengan ketetapan yang dicapai pada Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (CITES) pada 2016.

Baca juga:   Akta berkaitan 'whistleblower' perlu diperhalusi, dikaji semula

Wan Junaidi ketika menjawat Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, berjaya mengeluarkan Sarawak daripada Jadual 1 kepada Jadual 2 CITES.

Baca juga:   UMNO gantung semua jawatan isteri Shahidan, Ismail

“Apabila Sarawak berada dalam Jadual 2 CITES, pihak berkuasa boleh menangkap dan membunuh buaya secara berkala dan sistematik bagi mengurangkan jumlah haiwan itu namun tidak mendatangkan kepupusan.

“Namun, walaupun sudah berada dalam Jadual 2, kita masih tidak mengawal populasi reptalia ini, hingga serangan turut berlaku di bandar bukan sahaja di kawasan pedalaman,” katanya.

Menurutnya, dengan jumlah buaya yang banyak, reptilia itu akan pergi ke tempat yang ada saliran air seperti longkang, parit, sungai dan kuala sungai.

“Perkara ini memang membimbangkan kerana apabila tiada tindakan yang boleh mengurangkan jumlah buaya, ia memberi kesan kepada apa yang diputuskan CITES ketika bersidang di Johannesburg, Afrika Selatan pada tahun 2016.

“Tidak adakah perundangan dan sistem berkaitan pengawalan buaya ini bagi membolehkan ia diniagakan pihak tempatan yang memberi pulangan kepada masyarakat setempat seperti yang dikehendaki oleh CITES?” katanya.

Dalam pada itu, penghujung tahun lalu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Sarawak, Khirudin Drahman dilaporkan berkata untuk rekod dua tahun, berlaku 19 serangan buaya di Sarawak melibatkan semua mangsa lelaki.

Masing-masing berlaku 10 serangan pada 2020 dan sembilan serangan pada 2021.

Memberitahu akhbar tempatan, Khirudin berkata, daripada serangan tersebut, 15 mangsa disahkan, manakala empat lagi tidak ditemui.

Baca juga:   Banjir: 43 individu ditahan kerana mencuri di Selangor

Tapak serangan buaya antaranya berlaku di Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei Sibu, Mukah, Miri dan Bintulu.

Baca juga:   Perhilitan serbu kedai jual daging buaya di Melaka

-EDISI9

Wartawan

Terkini

Izinkan pemulihan segera Malaysia, pesan Najib

RAKYAT diminta izinkan pemulihan segera Malaysia biarpun adanya perasaan benci terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Itu...

Lagi Artikel Berkaitan